Connect with us

Terkini

SPM 2025 : Subjek BM merosot walau subjek lain naik

Published

on

Foto: Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
  • Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, Bahasa Melayu menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), iaitu 3.85 pada SPM 2025 berbanding 3.72 pada tahun sebelumnya.
  • J”29 subjek termasuk Bahasa Melayu merekodkan penurunan, sementara tiga mata pelajaran tidak berubah berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP),” jelas beliau.

PUTRAJAYA – Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan penurunan, sekali gus menimbulkan perhatian terhadap kedudukan subjek teras itu dalam sistem pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, Bahasa Melayu menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), iaitu 3.85 pada SPM 2025 berbanding 3.72 pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, penurunan itu berlaku meskipun secara keseluruhan, prestasi SPM 2025 menunjukkan peningkatan apabila 63 daripada 95 mata pelajaran mencatat keputusan lebih baik.

Bagaimanapun, sebanyak 29 mata pelajaran menunjukkan penurunan manakala tiga lagi kekal tidak berubah.

Bagi tujuh mata pelajaran teras, hanya tiga mencatat peningkatan manakala empat lagi menunjukkan penurunan prestasi.

“Mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.79 mata, iaitu 3.20 pada SPM 2025 berbanding 3.99 pada SPM 2024, manakala mata pelajaran Bahasa Melayu pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata, iaitu 3.85 pada SPM 2025 berbanding 3.72 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Bagi mata pelajaran elektif STEM melibatkan Sains Tulen dan Matematik Tambahan, prestasi menunjukkan penurunan antara 0.02 hingga 0.15 mata.

Namun, bagi 12 mata pelajaran elektif STEM dalam kategori Sains Gunaan dan Teknologi, lapan subjek menunjukkan peningkatan, dengan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 1.64 mata.

Dalam kategori Mata Pelajaran Vokasional (MPV), 16 daripada 22 subjek menunjukkan peningkatan, lima menurun dan satu mengekalkan prestasi.

Bagi mata pelajaran elektif Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas, 11 daripada 12 subjek mencatat peningkatan, manakala dalam kategori Pengajian Islam, sembilan daripada 13 subjek menunjukkan peningkatan prestasi.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2025 memperlihatkan peningkatan dalam majoriti mata pelajaran, namun penurunan Bahasa Melayu sebagai subjek teras dilihat sebagai antara perkembangan yang mencuri perhatian.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author