Connect with us

Terkini

Rakyat Malaysia guna 225 liter air sehari, Lebih tinggi dari standard WHO

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Rakyat Malaysia didapati menggunakan air secara berlebihan dengan purata sebanyak 225 liter sehari bagi setiap individu, jauh melebihi saranan 165 liter sehari yang ditetapkan oleh (WHO).
  • “Secara purata, setiap rakyat Malaysia menggunakan hampir 225 liter air sehari, sedangkan WHO menyarankan sekitar 165 liter sahaja sudah mencukupi untuk keperluan harian,” – Timbalan Pengarah Bahagian Teknikal, Seksyen Pembangunan dan Audit Industri Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia didapati menggunakan air secara berlebihan dengan purata sebanyak 225 liter sehari bagi setiap individu, jauh melebihi saranan 165 liter sehari yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dapatan itu dikongsikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Teknikal, Seksyen Pembangunan dan Audit Industri Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Puan Muzalifah Mohamad, dalam program podcast Air Kita, yang membincangkan isu penggunaan air dan keberkesanan produk cekap air.

Menurut beliau, angka tersebut merujuk kepada penggunaan domestik harian melibatkan aktiviti seperti mandi, mencuci pakaian, memasak dan penggunaan tandas, yang secara keseluruhan menunjukkan tahap penggunaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Secara purata, setiap rakyat Malaysia menggunakan hampir 225 liter air sehari, sedangkan WHO menyarankan sekitar 165 liter sahaja sudah mencukupi untuk keperluan harian,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa situasi ini menggambarkan bukan kekurangan sumber air, sebaliknya isu sebenar adalah penggunaan berlebihan dan pembaziran tanpa disedari oleh pengguna.

Tambah Muzalifah, Malaysia sememangnya menerima limpahan air hujan sepanjang tahun dan mempunyai sumber air yang mencukupi, namun cabaran utama terletak pada pengurusan sumber, peningkatan permintaan serta tahap kesedaran pengguna yang masih rendah.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Sustainable Cities Climate Action Division, Mohamad Muhtazam Nordin, turut menegaskan bahawa faktor sikap dan amalan harian memainkan peranan penting dalam menentukan tahap penggunaan air.

Menurutnya, walaupun teknologi cekap air telah diperkenalkan dan terbukti mampu menjimatkan penggunaan sehingga 50 hingga 60 peratus, kesannya tetap terhad jika tidak disokong oleh perubahan sikap pengguna.

“Teknologi sahaja tidak mencukupi. Kalau digabungkan dengan amalan yang betul, penjimatan boleh mencecah sehingga 70 hingga 80 peratus,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa pelaksanaan teknologi cekap air di beberapa masjid melalui program Rumah Ibadat Hijau telah menunjukkan penjimatan ketara, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut dalam mengurangkan pembaziran.

Mengulas lanjut, Muzalifah berkata antara faktor utama yang menyumbang kepada sikap sambil lewa pengguna adalah persepsi bahawa Malaysia tidak pernah mengalami kekurangan air, selain kadar tarif air yang masih rendah.

Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk memperhebatkan kempen kesedaran agar rakyat lebih menghargai sumber air dan mengubah tabiat penggunaan harian ke arah yang lebih lestari.Program Air Kita yang menampilkan kedua-dua panel tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penggunaan air secara berhemah serta memperkenalkan solusi seperti produk cekap air bagi mengurangkan pembaziran dalam jangka panjang.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author