Terkini
PM jamin tiada krisis minyak dalam masa terdekat, Walau harga dijangka naik
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat kemungkinan kenaikan harga bahan api, bekalan minyak negara masih berada pada tahap yang stabil dan terkawal.
- “Justeru, kita tidak menghadapi krisis bekalan. Mungkin ada sedikit turun naik harga, tetapi untuk beberapa bulan akan datang, bekalan agak terjamin,” katanya ketika berucap dalam sesi dialog sempena Kuala Lumpur–Ankara Dialogue 2026 yang berlangsung hari ini.
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak dijangka berdepan krisis bekalan minyak dalam tempoh beberapa bulan akan datang meskipun ketidaktentuan global terus mempengaruhi pasaran tenaga dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat kemungkinan kenaikan harga bahan api, bekalan minyak negara masih berada pada tahap yang stabil dan terkawal.
Menurut beliau, kestabilan ini disumbangkan oleh prestasi kukuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta hubungan baik syarikat itu dengan negara-negara pengeluar minyak utama dunia.
“Malaysia juga merupakan pengimport bersih kerana produk kita berjenama premium dan sedikit lebih mahal, namun kita masih mengimport,” katanya dipetik News Strait Times.
Anwar turut menegaskan bahawa Petronas wajar diberikan penghargaan atas prestasi cemerlang serta keupayaannya mengekalkan hubungan strategik dengan negara pengeluar minyak.
Beliau menjelaskan bahawa faktor tersebut menjadi asas utama mengapa Malaysia tidak berdepan krisis bekalan minyak walaupun situasi global kekal tidak menentu.
“Justeru, kita tidak menghadapi krisis bekalan. Mungkin ada sedikit turun naik harga, tetapi untuk beberapa bulan akan datang, bekalan agak terjamin,” katanya lagi.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam sesi dialog sempena Kuala Lumpur–Ankara Dialogue 2026 yang berlangsung hari ini.
Kenyataan itu hadir di tengah kebimbangan global terhadap gangguan rantaian bekalan tenaga susulan konflik geopolitik, yang turut memberi tekanan kepada harga bahan api di peringkat antarabangsa.-The Merdeka Times