Connect with us

Terkini

Pemandu mabuk: Rampas kenderaan, Wajib breathalyser di premis arak – Pakar

Published

on

Foto: Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim
  • Kerajaan digesa memperkenalkan hukuman yang lebih holistik merangkumi penumpang serta penyedia minuman keras, termasuk mewajibkan penggunaan mesin breathalyser di premis hidangan alkohol bagi menghalang pelanggan mabuk daripada memandu.
  • Kenderaan dalam kes pemanduan di bawah pengaruh (DUI) perlu ditakrifkan sebagai “senjata” dan wajar dirampas bagi kesalahan berulang untuk menunjukkan beratnya kesalahan tersebut.

KUALA LUMPUR  – Kerajaan digesa untuk memperkasakan undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah (DUI) dengan memperkenalkan hukuman yang lebih holistik, termasuk tindakan tegas terhadap penumpang serta penyedia minuman keras.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menegaskan bahawa Malaysia perlu mencontohi model perundangan di Jepun dan Singapura dalam menangani isu pemandu mabuk secara tuntas melalui “tanggungjawab kolektif” bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Sebagai langkah pencegahan di peringkat punca, beliau mencadangkan agar kerajaan mewajibkan setiap premis seperti pub, bar, atau restoran yang menghidangkan alkohol untuk menyediakan mesin breathalyser (ujian pernafasan) buat pelanggan mereka.

“Pihak pengusaha premis perlu mempunyai tanggungjawab sosial. Sebelum pelanggan pulang, mereka wajib melakukan ujian pernafasan menggunakan mesin tersebut. Jika dikesan melebihi tahap alkohol yang dibenarkan, pengusaha atau pelayan (bartender) tidak seharusnya membiarkan pelanggan itu memandu, sebaliknya perlu membantu mendapatkan perkhidmatan teksi atau e-hailing.

“Sekarang ini, kebanyakan pengusaha hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan keadaan pelanggan yang keluar dalam keadaan mabuk. Jika kita ada undang-undang yang boleh mengheret penghidang atau pemilik premis ke penjara seperti di Jepun, saya yakin mereka akan lebih berwaspada,” katanya kepada The Malaysia Times hari ini.

Beliau diminta mengulas berkaitan insiden-insiden kemalangan melibatkan pemandu mabuk yang berlaku sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang awam.

Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Selangor.

Insiden kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, seorang lelaki berusia 30-an, tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengulas lanjut mengenai keberkesanan hukuman, Kamal Affandi turut mencadangkan agar pihak berkuasa melaksanakan rampasan kenderaan bagi kesalahan berulang, seperti yang dipraktikkan di Singapura.

Tegasnya, kenderaan dalam kes DUI perlu ditakrifkan sebagai ‘senjata’ kerana ia merupakan instrumen utama yang menyebabkan kecederaan atau kematian kepada pihak lain.

“Kenapa dalam kes pengubahan wang haram (AMLA) kita boleh merampas akaun bank, tetapi dalam kes mabuk kita tidak merampas kenderaan? Walaupun kereta itu masih dalam pembiayaan bank, rampasan perlu dilakukan bagi menunjukkan ‘graviti’ atau beratnya kesalahan tersebut.

“Jika pemandu tiada insurans atau aset tunai untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa, kerajaan perlu mempunyai kuasa untuk merampas aset lain milik pelaku, termasuk hartanah, bagi memastikan keadilan buat mangsa,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kekesalan terhadap ketiadaan program pendidikan keselamatan jalan raya yang komprehensif di stesen televisyen milik kerajaan sejak 20 tahun lalu.

Beliau berpendapat, kali terakhir program pendidikan seumpama itu disiarkan adalah pada tahun 2006 iaitu menerusi rancangan KMJ, dan meskipun cadangan untuk menghidupkannya semula telah dikemukakan kepada beberapa barisan Menteri Komunikasi sejak 2018, sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Sehingga tahun 2026 ini, kita masih belum melihat usaha serius untuk menghidupkan kembali kandungan pendidikan keselamatan jalan raya. Adakah kita perlu menunggu angka kematian meningkat lebih tinggi sebelum ia dianggap penting? Pendidikan adalah kunci untuk menyelamatkan nyawa di samping penguatkuasaan yang keras,” tegas beliau. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author