Terkini
Pemandu mabuk punca kematian wajar dihukum gantung, penjara seumur hidup dan bayar diyat – Mantan Ketua Hakim Syarie
- “Hukuman berat ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian termasuk cadangan penjara seumur hidup, hukuman gantung sampai mati, dan sebatan. – Mantan Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie JKSM, Profesor Madya Datuk Muhammad Asri Abdullah
- “Hak waris mangsa yang kehilangan insan tersayang dan bergantung harap tidak boleh diabaikan dan pendekatan diyat perlu diberi perhatian bagi memastikan keadilan serta perlindungan sewajarnya kepada keluarga waris,” katanya.
- Menurut beliau, diyat merupakan satu bentuk pampasan yang wajib dibayar kepada mangsa atau waris sebagai ganti rugi dalam kes melibatkan kematian atau kecederaan.
KUALA LUMPUR – Pemandu mabuk yang menyebabkan kematian wajar berdepan hukuman gantung sampai mati, penjara seumur hidup, sebatan serta kewajipan membayar diyat kepada waris mangsa.
Perkara itu dicadangkan mantan Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie JKSM, Profesor Madya Datuk Muhammad Asri Abdullah, susulan tragedi kemalangan maut yang meragut nyawa penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33 tahun, ditambah peningkatan kes kemalangan maut melibatkan alkohol dan dadah, baru-baru ini.
Muhammad Asri berkata hukuman berat terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian perlu diperkasakan bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta memberi kesan pencegahan kepada masyarakat.
“Hukuman berat ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian termasuk cadangan penjara seumur hidup, hukuman gantung sampai mati, dan sebatan.
“Pemandu mabuk juga perlu didakwa mengikut Kanun Keseksaan yang lebih berat, bukan hanya di bawah Akta Pengangkutan Jalan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau turut mencadangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Seksyen 44) bagi membolehkan hukuman penjara yang lebih lama dan denda yang lebih tinggi.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa keadilan kepada mangsa tidak terhad kepada hukuman terhadap pelaku, sebaliknya perlu merangkumi pembelaan terhadap keluarga melalui mekanisme diyat.
Menurut beliau, diyat merupakan satu bentuk pampasan yang wajib dibayar kepada mangsa atau waris sebagai ganti rugi dalam kes melibatkan kematian atau kecederaan.
“Diyat adalah harta yang wajib dibayarkan oleh pelaku kejahatan atau warisnya kepada mangsa atau ahli warisnya sebagai ganti rugi. Contoh: Seperti pembunuhan tidak sengaja atau tanpa niat yang diampuni keluarga mangsa. Termasuklah dalam kes pemandu mabuk yang melanggar mangsa menyebabkan kematian atau kecederaan.”
Muhammad Asri berkata dalam kes tertentu seperti pembunuhan tidak sengaja yang mendapat keampunan keluarga mangsa, hukuman boleh digantikan dengan pembayaran diyat dalam bentuk nilai tertentu.
“Dalam kes pembunuhan tidak sengaja yang diampuni keluarga mangsa, sehingga hukuman diganti dengan membayar 100 ekor unta (atau senilai dengannya). Pihak berkuasa boleh menentukan kadar yang sesuai untuk mangsa atau waris mangsa juga sebagai pengajaran dan hukuman tidak secara langsung kepada penjenayah.”
Beliau menegaskan bahawa hak waris mangsa tidak boleh diabaikan, khususnya apabila mereka kehilangan tempat bergantung.
“Hak waris mangsa yang kehilangan insan tersayang dan bergantung harap tidak boleh diabaikan dan pendekatan diyat perlu diberi perhatian bagi memastikan keadilan serta perlindungan sewajarnya kepada keluarga waris,” katanya.
Muhammad Asrii turut mengulas keperluan sistem kawalan yang lebih kukuh membabitkan arak, merangkumi aspek undang-undang, pengedaran, ketagihan dan penguatkuasaan.
“Siapakah yang boleh mengawal seseorang pemandu dari meminum alkohol atau arak? Bolehkah pemandu menghadkan pengambilan arak ketika memandu pada kadar yang dibenarkan (bukan Islam)?
“Bila mereka sudah mabuk siapa pula yang boleh melarang mereka dari memandu? Bila mereka memandu dalam keaadaan hilang akal, siapa pula yang boleh mengawal atau mengesan mereka?
Beliau berkata tanggungjawab menangani isu tersebut perlu digalas bersama oleh semua pihak termasuk pemerintah dan masyarakat melalui kawalan lebih ketat terhadap bahan memabukkan.
“Pemerintah bertanggung-jawab terhadap kawalan penggunaan arak dan bahan-bahan yang menghayalkan dan memabukkan.”
“Keberadaan arak ditempat awam, dipasaran terbuka,dikelab malam, pusat-pusat hiburan, majlis-majlis awam dan kerajaan perlu dipantau. Pemimpin dan penguasa, ibubapa sendiri perlu membuktikan diri mereka sendiri bebas dari arak, todi, dadah, rokok, hasis dan sebagainya,” jelasnya.
Malah, di negara Barat yang majoriti rakyatnya bukan Islam, kawalan lebih dikenakan.
“Walaupun sering dianggap longgar, negara Barat sebenarnya melaksanakan kawalan ketat terhadap penjualan dan penggunaan alkohol. Negara seperti Sweden, Norway dan Australia mengenakan sekatan umur, had waktu jualan serta kawalan lokasi penjualan.
“Langkah ini diambil bagi mengurangkan kes jenayah, keganasan rumah tangga dan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada alkohol,” katanya – The Merdeka Times