Connect with us

Terkini

Pakar Ekonomi saran semak semula Belanjawan 2026 susulan lonjakan harga minyak

Published

on

Foto: Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
  • Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unjuran belanjawan kerajaan sebelum ini dibuat berdasarkan andaian harga minyak mentah sekitar AS$60 hingga AS$65 setong, namun perkembangan semasa menunjukkan harga tersebut telah melonjak jauh daripada jangkaan awal.
  • “Bila kerajaan umumkan Belanjawan 2026… andaian harga bahan api minyak adalah 60 ke 65 dolar setong. Tapi hari tu dah cecah 100… 118 dolar setong,” katanya dalam program Analisis Bersama Finaz Yunus.
  • Menurut beliau, perubahan ketara dalam harga minyak global ini memberi implikasi besar kepada asas perancangan fiskal negara, sekali gus membuka keperluan untuk menilai semula unjuran sedia ada.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 mungkin perlu disemak semula sekiranya ketidaktentuan harga minyak global berterusan, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata, unjuran belanjawan kerajaan sebelum ini dibuat berdasarkan andaian harga minyak mentah sekitar AS$60 hingga AS$65 setong, namun perkembangan semasa menunjukkan harga tersebut telah melonjak jauh daripada jangkaan awal.

“Bila kerajaan umumkan Belanjawan 2026… andaian harga bahan api minyak adalah 60 ke 65 dolar setong. Tapi hari tu dah cecah 100… 118 dolar setong,” katanya dalam program Analisis Bersama Finaz Yunus.

Menurut beliau, perubahan ketara dalam harga minyak global ini memberi implikasi besar kepada asas perancangan fiskal negara, sekali gus membuka keperluan untuk menilai semula unjuran sedia ada.

“Kalau macam tu keadaannya… yang saya nampak kena buat… ‘budget recalibration’ lah, kena semak semula,” jelasnya.

Dr. Afzanizam berkata, semakan semula belanjawan bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya pernah dilaksanakan sebelum ini ketika negara berdepan perubahan ekonomi yang ketara.

“Benda ni pernah berlaku… Belanjawan 2016 dia semak semula,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa langkah semakan semula tersebut penting bagi memberikan isyarat jelas bahawa kerajaan bertindak balas terhadap situasi luar jangka yang memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Bila dia semak semula… dia memberi satu isyarat jelas bahawa situasi ni bukan biasa-biasa dan perlu tindakan yang tuntas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara sektor yang berpotensi terkesan akibat perubahan ekonomi semasa adalah sektor perniagaan, khususnya apabila peningkatan kos operasi memberi tekanan kepada margin keuntungan.

“Kalau kos perniagaan naik… daripada untung jadi tak untung, rugi berterusan… itu boleh mengundang bahaya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah bersasar bagi mengurangkan beban perniagaan, termasuk dari sudut percukaian dan kemudahan kewangan.

“Macam mana mungkin dasar percukaian… kurangkan sikit ke… atau bagi ‘installment’… kita nak kurangkan beban,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa sebarang langkah semakan perlu dilakukan secara berhati-hati dan bersasar, memandangkan ketidaktentuan global masih berlanjutan.

Menurutnya, keadaan semasa menunjukkan keperluan untuk kerajaan kekal responsif terhadap perubahan ekonomi, terutama dalam memastikan keseimbangan antara kestabilan fiskal dan sokongan kepada rakyat serta sektor perniagaan.

Perkembangan ini berlaku dalam konteks ketegangan geopolitik global yang terus mempengaruhi harga tenaga, sekali gus memberi cabaran kepada perancangan ekonomi negara untuk tahun hadapan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author