Terkini
‘Open house’ Aidilfitri persatuan tokong cetus bantahan, JHEAIPP tak benarkan
- JHEAIPP telah menghalang Persatuan Tokong Thean Hock Keong daripada menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri kerana aktiviti keagamaan umat Islam berada di bawah bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama negeri.
- Arahan pembatalan itu dikeluarkan susulan aduan Persatuan Anak Jati Melayu Negeri Pulau Pinang, sekali gus menegaskan sebarang sambutan berkaitan syiar Islam mesti mendapat kelulusan rasmi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dilaporkan telah mengarahkan sebuah persatuan tokong Cina untuk membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dirancang mereka, baru-baru ini.
Langkah itu dilaporkan diambil memandangkan sambutan Aidilfitri merupakan aktiviti keagamaan umat Islam yang tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Melalui surat bertarikh 31 Mac, Pengarah JHEAIPP yang dipetik MalayMail, Datuk Marzuki Hassan memaklumkan kepada Persatuan Thean Hock Keong di Butterworth bahawa mereka “tidak dibenarkan” untuk menganjurkan acara tersebut.
Keputusan JHEAIPP itu dilaporkan dibuat selepas menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu Negeri Pulau Pinang berhubung majlis berkenaan.
“Memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu aktiviti keagamaan masyarakat Islam, maka Persatuan Thean Hock Keong tidak dibenarkan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tersebut,” jelas surat berkenaan.
JHEAIPP turut memaklumkan semua aktiviti agama berkaitan dengan Islam, termasuk sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang . – The Merdeka Times