Terkini
Lagi kes kemalangan dipercayai pemandu mabuk, bawa ‘geng’ halang rakaman
- Mangsa dikatakan membawa empat orang anaknya yang masing-masing berumur tujuh, enam, empat dan setahun.
- “Kami sudah berhenti di lampu isyarat. Lampu tengah merah. Tiba-tiba kuat berdentum. Anak tiga orang di kerusi belakang. Seorang berada di riba. Seorang hidung berdarah. Trauma tahu. Budak-budak ini dalam tidur tadi pun tiba-tiba menangis,” kata pengguna, ilaismail_, dalam hantaran di Threads.
- Dia mendakwa pemandu kenderaan terbabit berada dalam keadaan mabuk ketika insiden berlaku selain dikatakan cuba menghalangnya daripada merakam.
KULIM — Sebuah keluarga melalui detik cemas selepas kenderaan mereka didakwa dirempuh oleh seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dalam satu kejadian di Kulim, Kedah baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di media sosial, mangsa mendakwa kenderaan yang dinaiki bersama anak-anaknya sedang berhenti menunggu lampu isyarat merah sebelum dirempuh dengan kuat dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain.
Menurutnya, impak rempuhan itu menyebabkan anak-anaknya termasuk yang berada di tempat duduk belakang terkejut dan menangis, manakala seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian hidung.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa empat orang anaknya yang masing-masing berumur tujuh, enam, empat dan setahun.
“Kami sudah berhenti di lampu isyarat. Lampu tengah merah. Tiba-tiba kuat berdentum. Anak tiga orang di kerusi belakang. Seorang berada di riba. Seorang hidung berdarah. Trauma tahu. Budak-budak ini dalam tidur tadi pun tiba-tiba menangis,” kata pengguna, ilaismail_, dalam hantaran di Threads.
Dia mendakwa pemandu kenderaan terbabit berada dalam keadaan mabuk ketika insiden berlaku selain dikatakan cuba menghalangnya daripada merakam.
Dakwa beliau, kumpulan individu yang dibawa oleh pemandu berkenaan turut cuba membawa lari kenderaan yang terlibat serta pemandu terbabit.
“Laporan polis telah selesai dibuat dan saya akan meneruskan dengan tindakan sivil,” katanya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meminta mangsa mengambil tindakan tegas termasuk terus membuat laporan polis dan menyaman pelaku.
Seorang pengguna, tatanyapun meminta agar kes seumpama itu tidak sekadar diselesaikan di ‘tepi’ sebaliknya membuat laporan polis segera sebelum fakta diputarbelitkan pada kemudian hari.
Seorang lagi pengguna, ekinraf8433 menceritakan pengalaman bahawa dia pernah dilanggar dan ketika kejadian, si pelaku memohon maaf dan mengakui ia adalah kesalahan isterinya.
Si pelaku seterusnya berjanji akan menyelesaikan perkara itu pada keesokan harinya.
“Sekali esok hubungi dia, dia cakap saya salah pula dan dia tidak mengaku. Saya cakap mudah sahaja, kereta saya ada perakam (dashcam) jadi sekarang awak nak selesai bagaimana? Terus dia pindah duit,” katanya. – The Merdeka Times