Terkini
‘Kesilapan besar’ pamer kapal Portugis, Naratif maritim perlu diperbetul – Prof Ahmad Murad
- “Kapal Portugis yang dipaparkan di Melaka adalah satu kesilapan besar, tidak kira apa alasan yang diberikan. Perkara ini juga telah banyak kali dibangkitkan sebelum ini,” – Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu-Islam, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (CMICS-ISTAC), Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican
- Justeru beliau menegaskan, Malaysia perlu memiliki sebuah muzium maritim nasional yang komprehensif, lengkap dengan seni bina sesuai, diorama dan penceritaan yang mampu mengangkat kegemilangan tamadun maritim Melayu secara menyeluruh.
KUALA LUMPUR– Tindakan mempamerkan replika kapal Portugis di Melaka dipersoalkan apabila seorang sarjana menyifatkannya sebagai tidak selari dengan naratif sebenar sejarah maritim negara.
Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu-Islam, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (CMICS-ISTAC), Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, keutamaan sepatutnya diberikan kepada kapal-kapal dari Kepulauan Melayu yang mencerminkan kehebatan tamadun maritim tempatan.
Menurutnya, paparan kapal Portugis bukan sahaja tidak tepat dari sudut naratif, malah gagal menonjolkan identiti dan sejarah kelautan Melayu yang sebenar.
“Kapal Portugis yang dipaparkan di Melaka adalah satu kesilapan besar, tidak kira apa alasan yang diberikan. Perkara ini juga telah banyak kali dibangkitkan sebelum ini,” katanya kepada The Merdeka Times.
Justeru beliau menegaskan, Malaysia perlu memiliki sebuah muzium maritim nasional yang komprehensif, lengkap dengan seni bina sesuai, diorama dan penceritaan yang mampu mengangkat kegemilangan tamadun maritim Melayu secara menyeluruh.
Menurut Ahmad Murad, kelemahan utama ketika ini adalah paparan muzium yang tidak berjaya menyampaikan naratif yang merangkumi ekspresi serta semangat ‘kepulauan Melayu dan tanah air’ sekali gus gagal mencetuskan rasa bangga terhadap warisan maritim negara.
“Sepatutnya kapal-kapal Kepulauan Melayu dipamerkan dan diceritakan dengan sempurna. Muzium maritim seharusnya menjadi sumber kemegahan nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar ilmu berkaitan tamadun maritim Melayu diperluaskan dan tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang ‘misteri’, kerana persepsi sedemikian hanya akan melemahkan kefahaman terhadap kehebatan sebenar bangsa Melayu.
Katanya, kemampuan pelaut Melayu belayar tanpa kompas bukanlah satu keajaiban, sebaliknya hasil sistem ilmu dan sains yang tersusun serta berkembang dalam masyarakat Melayu sejak sekian lama.
Mengulas konteks sejarah, beliau menjelaskan bahawa kedatangan penjelajah Portugis, Vasco da Gama pada 1490-an merupakan titik perubahan besar yang mengubah struktur tamadun dan jaringan perdagangan di rantau Lautan Hindi.
Menurutnya, perkembangan itu telah meruntuhkan sistem sedia ada serta menyusun semula hubungan antara masyarakat di rantau ini secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Ahmad Murad berpandangan kisah-kisah kapal Melayu yang disebut dalam pelbagai hikayat perlu dibina semula dalam bentuk fizikal sebagai bukti empirikal kepada dunia luar.
Tanpa usaha tersebut, katanya, kehebatan maritim Melayu akan terus dipandang sepi dan tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Beliau turut menekankan keperluan reformasi dalam sistem pendidikan bagi membentuk semula perspektif masyarakat terhadap identiti Malaysia sebagai sebuah negara maritim.
“Negara perlu menjana semula naratif besar yang pernah membentuk identiti dan keunggulan watan, tanpa menafikan sumbangan tamadun lain,” katanya.-The Merdeka Times