Connect with us

Terkini

JP Morgan nilai Malaysia berdaya tahan, namun rakyat masih berdepan cabaran

Published

on

Foto: Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
  • KUALA LUMPUR – Walaupun Malaysia dilihat sebagai antara negara yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis tenaga global, realiti yang dirasai rakyat menunjukkan tekanan kos sara hidup masih berterusan.
  • Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penilaian oleh JPMorgan Chase yang meletakkan Malaysia sebagai antara negara “kebal” perlu difahami dalam konteks komuniti pasaran modal.

“Pandangan JP Morgan itu sangat terguna pakai dalam komuniti pasaran modal,” katanya dalam programAnalisis Bersama Finaz Yunus.

Menurut beliau, penilaian tersebut memberi kesan kepada keyakinan pelabur apabila data dan analisis yang dikemukakan mampu menarik kemasukan dana ke dalam pasaran negara.

“Apabila pandangan tersebut dilontarkan dengan data-data, ia menyebabkan keyakinan dan dana mula masuk,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kesan daripada keyakinan tersebut dapat dilihat melalui prestasi pasaran kewangan termasuk pengukuhan mata wang dan peningkatan pasaran saham.

“Kita tengok pasaran saham kita naik, ringgit kita pun naik… maksudnya dana-dana ini masuk kerana mereka nampak keyakinan dari segi dasar,” katanya.

Namun begitu, Dr. Afzanizam menegaskan bahawa kesan positif di peringkat makro tidak semestinya dirasai secara langsung oleh rakyat dalam kehidupan harian.

“Bukan kata tak terkesan… terkesan. Kita akan terkesan juga walaupun kita selaku pengeluar minyak,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia berada dalam kedudukan yang “secara relatifnya lebih baik”, namun masih tidak kebal sepenuhnya daripada kesan krisis tenaga global.

“Dalam situasi semasa kita bukanlah kata tak terkesan, tapi secara relatifnya berada dalam keadaan yang lebih baik,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa kedudukan tersebut disokong oleh status Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga dalam beberapa komponen seperti gas asli cecair (LNG) dan petroleum ditapis, walaupun negara masih mencatatkan defisit bagi minyak mentah.

“Kita ada LNG, kita ada refined petroleum, tapi crude kita negatif,” katanya.

Mengulas manfaat kepada rakyat, beliau berkata kesan daripada kestabilan pasaran modal sebenarnya wujud, namun lebih bersifat tidak langsung melalui instrumen pelaburan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“KWSP pun melabur… bila pasaran saham naik mereka mendapat manfaat, akhirnya ahli-ahli KWSP akan dapat manfaat dari segi dividen,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa walaupun terdapat manfaat di peringkat sistem, rakyat tetap berdepan tekanan kos sara hidup, sekali gus mewujudkan jurang antara persepsi kekuatan ekonomi dan realiti di lapangan.

Perbincangan tersebut menegaskan bahawa pemahaman terhadap struktur ekonomi negara adalah penting bagi menjelaskan mengapa Malaysia masih terkesan dengan kenaikan harga minyak walaupun dilihat sebagai negara pengeluar tenaga.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author