Connect with us

Terkini

Isu teater ‘panas’ UM: ‘Seni bukan lesen kandungan rosakkan moral, sahsiah’ – Presiden WAFIQ

Published

on

Foto: Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.
  • Wujud satu kecenderungan yang membimbangkan apabila segelintir pelajar tersalah anggap bahawa atas nama seni, mereka memiliki hak mutlak untuk melakukan apa sahaja tanpa batasan.
  • Walhal, setiap institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai garis panduan persembahan yang jelas, termasuk larangan keras terhadap adegan yang boleh dikategorikan sebagai pornografi ringan (soft porn).

KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa dan penggiat seni universiti digesa tidak menyalahgunakan konsep ‘kebebasan seni’ sebagai lesen untuk mempersembahkan kandungan yang merosakkan moral dan sahsiah.

Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, wujud satu kecenderungan yang membimbangkan apabila segelintir pelajar tersalah anggap bahawa atas nama seni, mereka memiliki hak mutlak untuk melakukan apa sahaja tanpa batasan. 

Walhal, beliau berkata, setiap institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai garis panduan persembahan yang jelas, termasuk larangan keras terhadap adegan yang boleh dikategorikan sebagai pornografi ringan (soft porn).

“Saya melihat wujud satu prinsip yang salah ditanggapi oleh pelajar kita, seolah-olah apa sahaja yang atas nama seni menjadi lesen mutlak untuk berbuat apa sahaja tanpa batasan. Hakikatnya, setiap universiti mempunyai garis panduan persembahan seni yang jelas. 

“Ini termasuklah larangan terhadap adegan yang dikategorikan sebagai soft porn, apatah lagi apabila ia dipersembahkan secara langsung di atas pentas yang sememangnya sukar dikawal. Amat menyedihkan jika perkara seperti ini dibiarkan berlalu tanpa teguran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Baru-baru ini, tular video adegan panas sebuah persembahan teater di Universiti Malaysia (UM) sehingga menyebabkan ramai pengguna media sosial mengecam tindakan tersebut dengan ada yang menganggapnya sebagai memalukan dan memburukkan nama serta imej UM sebagai sebuah universiti

Rentetan itu, Rafidah Hanim berkata, kepimpinan tertinggi universiti termasuk para naib canselor perlu lebih peka dan cakna bagi memastikan insiden sedemikian tidak berulang.

Tegasnya, mahasiswa seharusnya didorong untuk mementaskan naskah yang sarat dengan kisah inspirasi dan motivasi, bukannya terus terperangkap dalam takuk lama dengan mengeksploitasi adegan ranjang ke dalam ruang akademik.

Jika dibandingkan dengan perkembangan seni di Barat, tambahnya, banyak karya teater dan filem kini telah beralih kepada elemen futuristik, teknologi serta diskusi kritikal mengenai krisis semasa. 

Menurutnya, Malaysia memerlukan idea-idea segar daripada generasi muda yang mampu membincangkan isu ekonomi serta moraliti secara substantif.

“Karya seni tempatan tidak seharusnya terhenti pada naskhah sejarah seperti Mat Kilau semata-mata, sebaliknya perlu berani meneroka isu geopolitik dan teknologi terkini yang mencabar minda anak muda,” ujarnya.

Beliau berkata, universiti merupakan gedung ilmu dan ruang paling ideal untuk meletakkan standard sahsiah serta moraliti tertinggi dalam masyarakat. 

Walaupun realiti di luar sana penuh dengan pelbagai masalah manusia, ujarnya, universiti harus kekal sebagai ruang utopia yang membina peradaban.

“Jadi kalau universiti pun kita dah cacamarba dan porak peranda dengan hiburan murahan seperti pornografi dan sebagainya, saya ingat ia (budaya ini) akan turun kepada masyarakat dengan lebih teruk,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author