Terkini
‘Isu tanah rizab dilelong terlalu murah RM13.80 sekaki, MB Selangor diminta beri penjelasan’
- Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, semakan melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan tanah itu didakwa dijual pada kadar RM13.80 bagi setiap kaki persegi kepada Jakel.
- “Sekiranya benar, kami telah mencadangkan dalam sidang media bertarikh 20 Januari 2026 agar kerajaan negeri Selangor membeli semula tanah itu daripada pemaju berserta faedah, hanya kerana harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi adalah sangat murah.
- “Sekiranya kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kemampuan untuk membeli semula keseluruhan tanah itu yang dianggarkan menelan kos sekitar RM193 juta berdasarkan anggaran kami, maka kerajaan negeri perlu mempertimbangkan untuk membeli semula sebahagian tanah tersebut, khususnya kawasan yang mempunyai cerun sangat curam,” katanya
PUCHONG – Isu penjualan tanah rizab melibatkan kawasan Hutan Ayer Hitam seluas 169 ekar kembali menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, mempersoalkan nilai transaksi tanah yang diperoleh kumpulan Jakel yang didakwa terlalu rendah.
Menurut beliau, semakan melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan tanah seluas 169 ekar itu dijual pada kadar RM13.80 bagi setiap kaki persegi.
“Saya ingin kerajaan negeri Selangor mengesahkan perkara ini, adakah benar tanah tersebut dijual pada harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi?
“Sekiranya benar, kami telah mencadangkan dalam sidang media bertarikh 20 Januari 2026 agar kerajaan negeri Selangor membeli semula tanah tersebut daripada pemaju berserta faedah, hanya kerana harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi adalah sangat murah.
“Sekiranya kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kemampuan untuk membeli semula keseluruhan tanah tersebut yang dianggarkan menelan kos sekitar RM193 juta berdasarkan anggaran kami, maka kerajaan negeri perlu mempertimbangkan untuk membeli semula sebahagian daripada tanah tersebut, khususnya kawasan yang mempunyai cerun sangat curam,” katanya yang dipetik MalaysiaKini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya hari ini, yang turut dihadiri Adun Rawang, Chua Wei Kiat, Pengerusi bantahan bekas hutan simpan kekal Awies Ung, serta wakil penduduk Bandar Puteri, Kathryn Wong.
Wong turut menegaskan bahawa kelewatan kerajaan negeri memberikan maklum balas rasmi berhubung perkara itu berpotensi meningkatkan ketidakpuasan hati rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi di Parlimen Subang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa satu soalan telah dikemukakan oleh Chua untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadual bermula 20 April ini.
Terdahulu, Wong telah menghantar surat bertarikh 6 Januari kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bagi mendapatkan penjelasan terperinci termasuk kronologi pemindahan pemilikan tanah seluas 68.4 hektar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong, yang dikaitkan dengan cadangan pembangunan.
Susulan itu, beliau turut mengingatkan bahawa surat terdahulu bertarikh 15 Disember tahun lalu meminta maklum balas dalam tempoh 14 hari.
Bagaimanapun, pada 17 Disember, Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor, Jamaliah Jamaluddin, memaklumkan bahawa kawasan tersebut tidak lagi berstatus hutan simpan kekal selepas dinyahwartakan sejak 1926, walaupun pada asalnya diwartakan sebagai Hutan Simpan Ayer Hitam pada tahun 1906.
Sebahagian besar kawasan berkenaan terletak dalam Parlimen Subang.
Sehubungan itu, Wong menegaskan bahawa pendedahan harga transaksi adalah penting susulan kebimbangan terhadap “kemungkinan kos pengambilan balik yang akhirnya akan ditanggung oleh pembayar cukai”.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya telah menerima sebanyak 7,541 aduan daripada pengundi yang membantah pembangunan di kawasan tersebut.
“Kami kecewa kerana kerajaan negeri Selangor masih belum memberikan sebarang maklum balas secara rasmi terhadap surat-surat kami yang telah dihantar.
“Terdapat seramai 7,541 pengundi saya yang marah dan menuntut jawatan serta penyelesaian,” katanya lagi. – The Merdeka Times