Connect with us

Terkini

Henti eksploitasi nadir bumi untuk peperangan – NGO gesa kerajaan bertindak

Published

on

Foto: Wakil Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun.
  • Wakil Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, pihaknya menggesa rantaian bekalan unsur nadir bumi global dikawal selia dengan ketat bagi mengelakkan bahan mineral kritikal itu daripada dieksploitasi untuk tujuan konflik bersenjata.
  • Menurutnya, elemen nadir bumi seharusnya menjadi pemangkin kepada kelestarian masa depan, terutamanya dalam penghasilan teknologi hijau seperti panel solar dan kenderaan elektrik (EV), namun kini dikhuatiri turut digunakan secara meluas dalam pembuatan senjata.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan Malaysia dan kerajaan di seluruh dunia digesa memastikan industri nadir bumi difokuskan sepenuhnya kepada peralihan tenaga dan bukan dibekalkan untuk industri peperangan.

Wakil Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, pihaknya menggesa rantaian bekalan unsur nadir bumi global dikawal selia dengan ketat bagi mengelakkan bahan mineral kritikal itu daripada dieksploitasi untuk tujuan konflik bersenjata.

Menurutnya, unsur nadir bumi seharusnya menjadi pemangkin kepada kelestarian masa depan, terutamanya dalam penghasilan teknologi hijau seperti panel solar dan kenderaan elektrik (EV), namun kini dikhuatiri turut digunakan secara meluas dalam pembuatan senjata.

“Kami faham bahawa unsur nadir bumi ini sangat penting untuk peralihan tenaga. Namun, industri ini juga didakwa menyumbang kepada rantaian bekalan pembuatan senjata di seluruh dunia, dan ini adalah sesuatu yang sangat membimbangkan.

“Tatkala dunia sedang berdepan dengan pelbagai masalah (kemanusiaan), adalah tidak boleh diterima sekiranya nadir bumi digunakan untuk tujuan peperangan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini.

Beliau merupakan antara wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan aman bagi membantah penyertaan syarikat-syarikat senjata yang didakwa terlibat dalam jenayah perang dan genosid, pada pameran pertahanan dan keselamatan yang sedang berlangsung di MiTEC.

Beliau menambah, pendirian tersebut diambil sebagai tanda solidariti bersama mangsa-mangsa peperangan, khususnya nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Menurut beliau, kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam mengawal selia industri REE secara telus bagi memastikan bahan mentah negara tidak terlibat atau menjadi punca yang membolehkan sebarang bentuk genosid dan kemusnahan terus berlaku.

“Kami meminta kerajaan untuk mempertimbangkan dan memastikan industri nadir bumi ini tidak menyebabkan genosid,” katanya lagi. 

Menurut Jabatan Tenaga Atom, unsur nadir bumi terdiri daripada 15 unsur kimia kelas lantanid dan tambahan dua unsur scandium (Sc) dan yttrium (Y) dalam jadual berkala.

Unsur nadir bumi penting kepada pembangunan negara kerana ia digunakan secara meluas dalam teknologi moden seperti tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik, peralatan elektronik dan perubatan yang menyokong pembangunan ekonomi dan kemajuan teknologi negara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author