Connect with us

Terkini

Guna berus bulu babi, sijil halal kilang kopi dan biskut ditarik balik

Published

on

  • Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat memaklumkan bahawa kilang di Melaka itu merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan telah beroperasi lebih sedekad.
  • “Pemeriksaan mendapati pekerja menggunakan berus diperbuat daripada bulu haiwan untuk proses pembersihan peralatan sebelum kita merampasnya untuk diperiksa Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
  • “Hasil keputusan analisis pada Mac lalu kemudian mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri-ciri fizikal bulu babi menyebabkan sijil halal SPHM kilang itu ditarik serta-merta,” katanya

MELAKA – Sebuah kilang yang mengusahakan pengeluaran kopi dan biskut di negeri ini telah ditarik semula sijil halalnya selepas dipercayai menggunakan berus daripada bulu babi bagi tujuan pembersihan peralatan.

Perkara itu terbongkar susulan pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu. Hasil pemeriksaan mendapati pekerja di premis berkenaan menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu haiwan dalam proses mencuci peralatan.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat memaklumkan bahawa kilang tersebut merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan telah beroperasi lebih sedekad.

“Pemeriksaan mendapati pekerja menggunakan berus diperbuat daripada bulu haiwan untuk proses pembersihan peralatan sebelum kita merampasnya untuk diperiksa Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

“Hasil keputusan analisis pada Mac lalu kemudian mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri-ciri fizikal bulu babi menyebabkan sijil halal SPHM kilang itu ditarik serta-merta,” katanya yang dipetik MalaysiaGazette.

Menurut beliau, pihak kilang memberi alasan bahawa pekerja tidak menyedari kesalahan menggunakan berus berasaskan bulu haiwan dalam operasi pemprosesan makanan.

“Alasan ini tidak boleh diterima kerana setiap pemegang SPHM JAKIM wajib mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.

“Pemegang sijil halal tidak boleh sambil lewa dan perlu sentiasa memastikan setiap aspek operasi mematuhi garis panduan halal yang ketat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Azhan menjelaskan bahawa JAIM akan terus memperketat pemantauan ke atas semua premis yang memiliki SPHM bagi memastikan integriti pensijilan halal sentiasa terpelihara.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar lebih berhati-hati dalam memilih produk makanan dengan memberi keutamaan kepada barangan yang mempunyai pensijilan halal daripada JAKIM.

“Ini kerana ia bukan sahaja terjamin dari segi hukum, malah lebih bersih serta sentiasa dipantau aspek kebersihan dan keselamatannya,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author