Terkini
Global Sumud Flotilla kembali cabar sekatan Israel, berlepas ke Gaza 12 April
- Menurut kenyataan kumpulan itu, misi berkenaan akan melibatkan lebih 80 buah bot serta kira-kira 1,000 peserta antarabangsa dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang terus berdepan sekatan.
- “Misi ini adalah intervensi berprinsip dan aman, sebagai tindak balas terhadap sekatan, keganasan dan penderitaan yang semakin memuncak di Gaza,” menurut kenyataan itu.
BARCELONA – Sekumpulan aktivis pro-Palestin yang sebelum ini cuba menembusi sekatan ke Gaza mengumumkan pelancaran misi baharu ke wilayah itu pada 12 April ini, bermula dari Barcelona, Sepanyol.
Gabungan dikenali sebagai Global Sumud Flotilla memaklumkan misi berkenaan akan melibatkan lebih 80 buah bot serta kira-kira 1,000 peserta antarabangsa dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang terus berdepan sekatan.
Menurut kenyataan kumpulan itu, percubaan pertama mereka tahun lalu yang merentas Laut Mediterranean telah menarik perhatian dunia selepas bot mereka dipintas pihak Israel dan aktivis ditahan ketika menghampiri Gaza.
Tindakan tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa, khususnya ketika Gaza berdepan kekurangan teruk bekalan asas termasuk makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.
Global Sumud Flotilla menegaskan misi terbaharu ini merupakan usaha kemanusiaan tanpa kekerasan bagi mempertahankan maruah manusia, menuntut akses bantuan serta mendesak akauntabiliti antarabangsa terhadap situasi di Gaza.
“Misi ini adalah intervensi berprinsip dan aman, sebagai tindak balas terhadap sekatan, keganasan dan penderitaan yang semakin memuncak di Gaza,” menurut kenyataan itu.
Selain tindakan melalui laut, kumpulan tersebut turut memaklumkan akan menggerakkan kempen darat di beberapa negara bagi meningkatkan tekanan global terhadap situasi di wilayah Palestin berkenaan.
Gaza ketika ini berada di bawah gencatan senjata rapuh yang dicapai pada Oktober lalu selepas konflik selama dua tahun susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.-The Merdeka Times