Terkini
Gencatan senjata bukan jaminan harga minyak turun, harga bahan api kekal tidak menentu – Pakar
- Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun gencatan senjata diumumkan, beberapa pembolehubah lain masih terbuka termasuk risiko pelanggaran janji yang boleh menggugat kestabilan perjanjian itu dalam dua minggu akan datang.
- “Impaknya kepada negara, situasi kenaikan harga bahan api dilihat masih kekal dalam ekosistem yang sama buat masa terdekat ini. Kita cuma boleh mengharapkan harga akan sedikit rendah, mungkin minggu depan, akan sedikit rendah,” katanya.
KUALA LUMPUR – Walaupun gencatan senjata perang AS-Israel terhadap Iran diumumkan, harga bahan api dijangka terus kekal tinggi dalam masa terdekat, dengan penurunan hanya dijangka berlaku secara kecil dan bersifat sementara, mungkin seawal minggu hadapan.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keadaan itu menunjukkan pasaran tenaga global masih berada dalam ekosistem yang sama, tanpa perubahan ketara dalam jangka masa pendek, sekali gus mengehadkan potensi penurunan harga yang lebih signifikan.
“Impaknya kepada negara, situasi kenaikan harga bahan api dilihat masih kekal dalam ekosistem yang sama buat masa terdekat ini. Kita cuma boleh mengharapkan harga akan sedikit rendah, mungkin minggu depan, akan sedikit rendah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Ketidakpastian itu sekali gus mengekalkan tekanan terhadap pasaran tenaga global, apabila sebarang perkembangan baharu dalam konflik atau kegagalan rundingan berpotensi mencetuskan lonjakan harga yang lebih tinggi dalam jangka masa singkat.
Menurut beliau, walaupun berita gencatan senjata amat dinantikan, beberapa pembolehubah lain masih terbuka, termasuk risiko pelanggaran janji yang boleh menggugat kestabilan perjanjian tersebut dalam tempoh dua minggu akan datang.
“Apabila Iran bersetuju, ia menimbulkan kredibiliti yang tinggi bahawa konflik ini mungkin boleh diselesaikan. Namun, pemboleh ubah yang lain masih lagi terbuka apabila Israel dilihat masih membedil Lubnan, manakala Iran pula menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk pelanggaran.
“Ini menimbulkan risiko sama ada gencatan senjata ini boleh terus berlangsung. Ini adalah ‘cakap-cakap’ yang akan terus menghantui pasaran dan memberi kesan kepada kestabilan harga,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai langkah mendepani cabaran kos sara hidup yang serius, Dr. Afzanizam menyarankan agar orang ramai dan peniaga mengambil sikap lebih berhati-hati dalam perbelanjaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tanggungjawab itu memerlukan tindak balas kolektif dan tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata.
“Kerajaan sudah cuba meminimumkan kesan, tetapi di peringkat perniagaan dan individu, mereka perlu melihat kembali apa yang boleh dijimatkan.
“Bantuan daripada pihak bank juga tersedia, namun ia bergantung kepada bagaimana individu dan perniagaan itu merencanakan kehidupan mereka dalam berhadapan krisis ini,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Afzanizam melihat cadangan pengenalan biodiesel B100 (100 peratus minyak sawit) oleh FELDA sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh jaminan tenaga negara.
Beliau menyifatkan krisis tenaga global semasa sebagai justifikasi kukuh untuk Malaysia beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan status negara sebagai antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.”Isu B100 ini lebih kepada keterjaminan tenaga. Kita mempunyai sumber yang luas, jadi potensinya memang ada untuk dijadikan alternatif strategik di masa hadapan,” katanya. – The Merdeka Times