Terkini
‘Gantung tugas Azam Baki, ganti pemangku berwibawa’ – Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
- Pemuda PAS Selangor mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, digantung tugas dan digantikan dengan pemangku yang lebih berwibawa bagi memulihkan integriti agensi serta kepercayaan rakyat.
- “Kami menegaskan rakyat hari ini sedang resah dan mula hilang kepercayaan terhadap retorik ‘tatakelola’ dan ‘reformasi’ anti rasuah yang sering dilaungkan kerajaan,” katanya.
- Kerajaan digesa berhenti menjadikan penjawat awam sebagai “perisai politik” dan segera menamatkan siasatan secara telus.
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) hari ini mendesak kerajaan agar menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi memulihkan kepercayaan rakyat pada institusi tersebut.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai menegaskan, Azam wajar digantikan dengan pemangku atau calon yang lebih berwibawa sehingga siasatan ke atas beliau tamat.
“Di saat rakyat ditekan dengan kos sara hidup dan pelbagai isu ekonomi, mereka mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih daripada korupsi, bersih daripada salah guna kuasa, bersih daripada isu ‘sakau’ duit kerajaan dan berani bertindak tanpa pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Kami menegaskan bahawa rakyat hari ini sedang resah dan mula hilang kepercayaan terhadap retorik ‘tatakelola’ dan ‘reformasi’ anti rasuah yang sering dilaungkan kerajaan. Kegagalan untuk bersikap telus dalam kes melibatkan ketua agensi pencegahan rasuah negara adalah satu isyarat buruk kepada integriti negara.
Semalam, The Merdeka Times melaporkan sesi ucapan Azam bertukar kecoh seketika apabila dewan acara secara tiba-tiba didatangi dua lelaki yang membawa sepanduk.
Insiden tidak dijangka itu berlaku ketika Azam sedang menyampaikan ucaptama pada program Wacana Ilmiah Perdana yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Mengulas lanjut, Muhammad Faizzuddin menambah, pihaknya turut mendesak kerajaan agar menyegerakan proses siasatan tersebut kerana ia telah menjadi perhatian utama rakyat dan dunia.
Beliau berkata, semakin lama siasatan bertangguh dan berlarutan, maka semakin bertambah defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pada hari ini.
“Kami ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak boleh berselindung di sebalik penjawat awam dan menjadikan mereka “perisai politik” kepada kerajaan.
“Rakyat sedang memerhati dan akan memastikan Pakatan Harapan bertanggungjawab penuh ke atas tindakan-tindakan pro korupsi yang memburukkan imej negara,” katanya.
Sebelum ini, pihak seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah menggesa Azam agar bercuti atau digantung tugas sementara siasatan dijalankan berhubung dakwaan pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat. – The Merdeka Times.