Terkini
DESAK ditubuh, Ibrahim Ali dakwa rakyat kini ‘bertarung untuk hidup’
- Parti PUTRA menubuhkan Sekretariat Bertindak Menangani Kos Sara Hidup (DESAK) sebagai wadah penyatuan untuk menghimpunkan keresahan rakyat menjadi satu kekuatan tuntutan yang lebih tersusun dan berkesan.
- “Hari ini, rakyat bukan lagi mengejar kehidupan selesa, tetapi sedang bertarung untuk memastikan (kelangsungan) hidup mereka tidak runtuh. Ramai keluar pagi, pulang malam, bekerja sampai letih tulang, tetapi duit tetap tidak cukup,” – Presiden Parti Perkasa Bangsa (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR – Penubuhan Sekretariat Bertindak Menangani Kos Sara Hidup (DESAK) merupakan satu keperluan dan kewajipan bagi membantu rakyat yang semakin terhimpit dengan tekanan ekonomi.
Presiden Parti Perkasa Bangsa (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, inisiatif DESAK lahir ketika rakyat sedang dihimpit dari segenap penjuru dan ketika kehidupan keluarga semakin sempit.
“Hari ini, rakyat bukan lagi mengejar kehidupan selesa, tetapi sedang bertarung untuk memastikan (kelangsungan) hidup mereka tidak runtuh. Ramai keluar pagi, pulang malam, bekerja sampai letih tulang, tetapi duit tetap tidak cukup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Ibrahim telah mengumumkan penubuhan sekretariat tersebut selepas Himpunan Bantah Harga Minyak di ibu kota.
Mengulas lanjut, Ibrahim menjelaskan, kenaikan harga bahan api telah mencetuskan kesan rantaian terhadap kos pengangkutan dan harga barangan keperluan, sekali gus menjejaskan ketenangan serta kestabilan institusi kekeluargaan.
“Jangan tunggu sampai lebih ramai anak membesar dalam rumah yang penuh tekanan. Jangan tunggu sampai lebih ramai peniaga kecil tumbang satu demi satu.
“Bila tekanan hidup sudah masuk ke dalam dapur, masuk ke dalam bilik anak-anak, masuk ke dalam kepala ketua keluarga setiap malam, itu maknanya keadaan sudah terlalu jauh masuk ke dalam kehidupan rakyat untuk kita terus bersikap biasa,” tegas beliau.
Mengulas lanjut mengenai fungsi DESAK, beliau menyifatkan sekretariat tersebut sebagai benteng penyatuan bagi menghimpunkan keresahan rakyat menjadi satu kekuatan tuntutan yang lebih tersusun.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak melihat penubuhan DESAK melalui kaca mata politik sempit, kerana isu kos sara hidup melibatkan maruah keluarga dan masa depan generasi akan datang.
“Selagi rakyat terus berpecah, selagi itulah penderitaan rakyat akan terus dianggap bunyi latar yang boleh dipujuk sekejap, kemudian dilupakan semula.,” katanya.
Ibrahim menyeru semua pihak yang mempunyai hati nurani dan rasa tanggungjawab agar menyokong penuh penubuhan sekretariat tersebut tanpa perlu menunggu keadaan menjadi lebih parah.
Beliau menegaskan bahawa sikap berkecuali dalam krisis ini bukanlah satu pilihan yang selamat, malah boleh menyebabkan bebanan ekonomi ini diwarisi oleh anak cucu di masa hadapan dalam keadaan yang lebih menyesakkan.“Ini bukan masa untuk memerhati. Ini bukan masa untuk berkira. Ini bukan masa untuk menunggu orang lain memulakan langkah. Ini masa untuk berdiri bersama sebelum keadaan menjadi lebih berat dan lebih memeritkan,” tambahnya. – The Merdeka Times.