Terkini
DAP gesa kerajaan tunaikan komitmen matrikulasi automatik untuk 10A
- DAP menyeru kerajaan untuk meneruskan dasar pemberian tempat secara automatik ke program matrikulasi bagi semua pelajar SPM 2025 yang memperoleh keputusan 10A ke atas.
- “DAP menyeru kerajaan meneruskan dasar untuk memastikan semua pelajar cemerlang SPM 2025 yang mendapat 10A ke atas diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi dan memastikan pelajar cemerlang yang lain turut diberi pertimbangan yang sewajarnya mengiikut kapasiti sedia ada.” – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook
KUALA LUMPUR – DAP menyeru kerajaan meneruskan dasar untuk memastikan semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mendapat 10A ke atas diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi.
“DAP menyeru kerajaan meneruskan dasar untuk memastikan semua pelajar cemerlang SPM 2025 yang mendapat 10A ke atas diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi dan memastikan pelajar cemerlang yang lain turut diberi pertimbangan yang sewajarnya mengikut kapasiti sedia ada,” katanya.
Pada Jun 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan semua pelajar lepasan SPM yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.
Beliau berkata, keputusan hasil perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.
Menurut portal rasmi Kementerian Pendidikan, Program Matrikulasi diwujudkan pada tahun 1998 merupakan satu program persediaan bagi pelajar Bumiputera untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, Anthony berkata, mesyuarat CEC turut menyokong tindakan tegas dan keras oleh kerajaan terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kematian tanpa pilih kasih.
Tambahnya, langkah itu memberi satu mesej yang kuat kepada semua pemandu untuk sentiasa bertanggungjawab demi keselamatan bersama di jalan raya.
Selain itu, beliau menambah, CEC menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mengurus krisis global ini secara tuntas demi kelangsungan ekonomi negara dan kehidupan rakyat serta memastikan sumber negara diurus dengan berhemah. – The Merdeka Times