Terkini
Dakwaan salah laku flotilla : Nadir sangkal tuduhan, sifatkan Sumud diserang ‘Smear Campaign’
- Pengarah Sumud Nusantara menyifatkan pendedahan tersebut sebagai satu bentuk ‘kempen memburuk-burukkan’ (smear campaign) dan pembunuhan karakter yang sengaja dicetuskan untuk menjatuhkan imej pergerakan kemanusiaan antarabangsa itu.
- Beliau memaklumkan, pemilik akaun media sosial yang memulakan dakwaan tersebut merupakan seorang bekas peserta luar negara yang dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati.
KUALA LUMPUR – Pengarah Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, tampil menyangkal dakwaan salah laku seksual membabitkan seorang ahli Jawatankuasa Pemandu flotilla ke Gaza yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau menyifatkan pendedahan tersebut sebagai satu bentuk ‘kempen memburuk-burukkan’ (smear campaign) dan pembunuhan karakter yang sengaja dicetuskan untuk menjatuhkan imej pergerakan kemanusiaan antarabangsa itu.
Menurut Nadir, pemilik akaun media sosial yang memulakan dakwaan tersebut merupakan seorang bekas peserta luar negara yang dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati.
“Pemilik akaun itu adalah bekas peserta luar negara yang tidak mendapat apa yang diinginkannya — iaitu perhatian dan keutamaan dalam program pasca Sumud.
“Beliau mendengar khabar angin ini dan menyebarkannya, sedangkan perkara tersebut tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan maklum balas di media sosial The Merdeka Times.
Beliau turut mendedahkan bahawa pihak jawatankuasa telah menghubungi individu berkenaan sejak sebulan lalu untuk mengemukakan aduan rasmi kepada Jawatankuasa Etika (Ethics Committee), namun individu tersebut gagal memberikan sebarang respons dan memilih untuk terus menularkan isu tersebut di media sosial.
Mengulas lanjut, Nadir menyatakan bahawa pihak GSF kini sedang meneliti sama ada hantaran tersebut merupakan serangan terancang oleh penyusup (infiltrator) atau sekadar tindakan berunsur dengki.
“Selain akaun tersebut, terdapat beberapa laman lain yang tidak putus-putus cuba menjatuhkan pergerakan ini. Kami sedang memerhati sama ada ia serangan tersusun atau hanya berpunca daripada kebencian biasa.
“Malah, hantaran ini telah pun digunakan oleh pihak Mossad untuk memburukkan kempen kita,” jelas beliau lagi.
Nadir turut menasihati orang ramai, khususnya rakyat Malaysia, agar tidak terpedaya atau menjadi ejen penyebar fitnah yang akhirnya akan merugikan misi bantuan ke Palestin.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjawab isu ini secara terperinci. Harap tidak ada kenyataan atau fitnah dari negara kita yang digunakan oleh musuh untuk menjatuhkan pergerakan ini. Berhati-hatilah,” tegas beliau.
Terdahulu, akaun Instagram Heart of Falastin mendedahkan testimoni mendakwa seorang individu dengan kod nama ‘B.L.’ melakukan salah laku seksual terhadap sukarelawan di atas kapal misi bantuan, selain mendakwa pihak kepimpinan cuba melindungi individu terbabit.- The Merdeka Times