Connect with us

Terkini

Dakwaan permohonan tambahan BUDI95 tidak benar, had 200 liter kekal – MOF

Published

on

Foto: BUDI95.
  • Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa tiada permohonan tambahan had subsidi BUDI95 bagi kegunaan peribadi, dan butang permohonan di portal telah dinyahfungsikan untuk mengelakkan salah tafsir oleh orang awam.
  • Had subsidi sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa kerana data menunjukkan ia mencukupi bagi 90 peratus pengguna, bertujuan untuk mengurus kos subsidi dengan lebih berhemah di tengah-tengah tekanan pasaran tenaga global.

PUTRAJAYA – Dakwaan mengenai permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan meskipun fungsi itu diwujudkan pada awal pelaksanaan BUDI95, ia bukan bertujuan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi.

“Ia sebaliknya bagi kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.

“Fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas. Susulan itu, butang permohonan ini telah dinyahfungsikan,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta bekalan kekal stabil.

“Langkah sementara ini diambil berikutan tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, MOF memaklumkan data menunjukkan had 200 liter mencukupi bagi 90 peratus pengguna BUDI95.

Pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh membeli RON95 hingga RM398 sebulan, dengan kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima.“Kerajaan akan terus melindungi rakyat, memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan, serta memantau rapi pasaran tenaga global dan bersedia membuat penyesuaian sewajarnya,” menurut MOF. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author