Terkini
Cucu Shamsiah Fakeh kecewa buku diharamkan KDN
- Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas, beliau berkata, tindakan tersebut berpotensi menyempitkan ruang wacana serta budaya ilmu dan secara tidak langsung membuka ruang kepada pembentukan sentimen yang lebih ekstrem.
- “Memoir Shamsiah Fakeh telah diterbitkan sejak tahun 2004, iaitu lebih dua dekad yang lalu. Ianya juga telah diulang cetak beberapa kali.
- “Kandungannya lebih bersifat penceritaan perjalanan dan pengalaman hidup Shamsiah Fakeh. Tiada gerakan ekstrem yang turut dilaporkan berpunca daripada penulisan dan penerbitan buku ini,” katanya.
KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku membabitkan anggota Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh mengundang rasa kecewa cucunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.
Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas, beliau berkata, tindakan tersebut berpotensi menyempitkan ruang wacana serta budaya ilmu dan secara tidak langsung membuka ruang kepada pembentukan sentimen yang lebih ekstrem.
“Memoir Shamsiah Fakeh telah diterbitkan sejak tahun 2004, iaitu lebih dua dekad yang lalu. Ianya juga telah diulang cetak beberapa kali.
“Kandungannya lebih bersifat penceritaan perjalanan dan pengalaman hidup Shamsiah Fakeh. Tiada gerakan ekstrem yang turut dilaporkan berpunca daripada penulisan dan penerbitan buku ini,” katanya di laman Facebook.
Terdahulu, KDN dilaporkan mengeluarkan arahan larangan (pengharaman) terhadap Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen Ke-10 dan sebuah lagi buku berkaitan Rejimen 10.
Penerbitnya, Gerakbudaya mengesahkan menerima notis KDN dan telah mengeluarkan kenyataan media berhubung pengharaman itu.
Semalam, KDN dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan yang telah dikenakan Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) merupakan langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua penerbitan berkenaan masing-masing bertajuk Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
“KDN mengambil maklum persoalan yang dibangkitkan berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan ini.
“KDN ingin menegaskan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan penilaian semasa dan kepentingan keselamatan awam, dan bukan semata-mata bergantung kepada tarikh penerbitan sesuatu bahan,” menurut kenyataan itu. – The Merdeka Times