Terkini
Bukan kilang kami: Sin Sing Coffee nafi isu berus bulu babi
- Maklumat dan gambar yang tular tersebut adalah tidak berkaitan dengan syarikat kami.
- Syarikat kami sentiasa mematuhi piawaian dan keperluan pensijilan Halal Malaysia. Semua proses pengeluaran kami adalah selaras dengan garis panduan kebersihan dan syariah yang ditetapkan.
- Status halal kami masih sah dan diiktiraf.
KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar kopi tempatan, Sin Sing Coffee Sdn. Bhd. tampil memberikan penjelasan susulan penularan maklumat dan gambar di media sosial yang mendakwa penggunaan peralatan pembersihan tidak mematuhi piawaian halal dalam pengeluaran produk kopi.
Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu menegaskan bahawa maklumat serta gambar yang tular tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan operasi mereka, malah bukan merupakan persekitaran atau peralatan yang digunakan dalam proses pengeluaran syarikat berkenaan.
“Syarikat kami hanya menumpukan kepada pengeluaran produk kopi dan tidak menghasilkan sebarang produk biskut,” menurut kenyataan itu bagi menangkis kekeliruan yang timbul dalam kalangan pengguna.
Mengulas lanjut, pihak syarikat memaklumkan bahawa mereka sentiasa mematuhi piawaian serta keperluan pensijilan halal Malaysia, dengan semua proses pengeluaran dilaksanakan mengikut garis panduan kebersihan dan syariah yang ditetapkan.
“Status halal kami adalah masih sah dan diiktiraf,” katanya yang meminta pengguna membuat semakan melalui portal rasmi Halal Malaysia di https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/ dengan carian ‘Sin Sing Coffee’.
Dalam masa sama, syarikat yang telah beroperasi lebih 67 tahun itu menegaskan komitmen berterusan mereka dalam menghasilkan produk berkualiti serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham. – The Merdeka Times