Terkini
Biodiesel berasaskan sawit alternatif tangani kenaikan kos bahan api
- B100, bahan api biodiesel yang dihasilkan sepenuhnya daripada minyak sawit tanpa campuran fosil, dilihat dapat menjadi alternatif tenaga yang praktikal dan strategik dalam menghadapi cabaran kenaikan harga diesel serta ketidaktentuan bekalan global.
- FELDA dalam satu kenyataan memberitahu, sejak tahun 2025, projek rintis penggunaan B100 biodiesel telah dilaksanakan menggunakan kenderaan penumpang dengan dan ujian percubaan juga telah dibuat selama empat bulan pada lori tangki pada tahun 2024.
KUALA LUMPUR – B100, bahan api biodiesel yang dihasilkan sepenuhnya daripada minyak sawit tanpa campuran fosil, dilihat dapat menjadi alternatif tenaga yang praktikal dan strategik dalam menghadapi cabaran kenaikan harga diesel serta ketidaktentuan bekalan global.
Dalam jangka masa panjang, penghasilan B100 berpotensi menjadi alternatif yang berdaya saing kepada diesel konvensional.
Dengan anggaran harga di bawah RM5.00 seliter, penggunaan biodiesel bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel, malah membuka ruang kepada strategi penstabilan harga bahan api domestik serta memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
FELDA dalam satu kenyataan memberitahu, sejak tahun 2025, projek rintis penggunaan B100 biodiesel telah dilaksanakan menggunakan kenderaan penumpang dengan dan ujian percubaan juga telah dibuat selama empat bulan pada lori tangki pada tahun 2024.
“Malaysia, melalui FELDA dan FGV, berada dalam kedudukan kukuh untuk membangunkan solusi tenaga domestik yang mampan, berdaya saing dan mampu memperkukuh keterjaminan tenaga negara dalam jangka panjang.
“Inisiatif B100 memberi impak positif kepada pekebun kecil sawit, yang menyumbang kepada pengeluaran sawit negara, dengan menstabilkan harga sawit dan meningkatkan pendapatan serta ekonomi luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dengan peningkatan harga diesel semasa sekitar RM6.02 seliter bagi diesel B10, tambah FELDA, tekanan terhadap kos operasi dan subsidi kerajaan semakin ketara justeru, biodiesel berasaskan minyak sawit tempatan muncul sebagai alternatif yang lebih kompetitif dan berdaya tahan.
Susulan ketidaktentuan geopolitik global, tambahnya, Malaysia perlu menilai tahap kesiapsiagaan tenaga negara secara menyeluruh, terutamanya dari segi kemampuan harga (affordability), ketersediaan bekalan (availability) dan keterjaminan tenaga (energy security).
“Malaysia memerlukan satu pemikiran baharu dalam menyelesaikan isu sumber tenaga negara dengan menggunakan sumber tersedia dalam negara,” katanya. – The Merdeka Times.