Terkini
AS kepung Hormuz, 6 kapal Malaysia terkandas – Menteri Luar
- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal-kapal berkenaan kini tidak dapat meneruskan perjalanan susulan situasi keselamatan yang tidak menentu di kawasan tersebut.
- “Kapal masih ada di sana dan mereka tidak boleh bergerak. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kapal Malaysia, malah semua kapal di kawasan itu turut terkesan,” katanya.
- Ahli Parlimen Rembau itu turut mempersoalkan pendirian AS yang dilihat bercanggah, memandangkan sebelum ini negara itu menggesa negara Eropah untuk membantu memastikan Selat Hormuz kekal terbuka.
KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengepung Selat Hormuz dilapor menjejaskan pergerakan enam kapal Malaysia yang masih berada di laluan strategik tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal-kapal berkenaan kini tidak dapat meneruskan perjalanan susulan situasi keselamatan yang tidak menentu di kawasan tersebut.
“Kapal masih ada di sana dan mereka tidak boleh bergerak. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kapal Malaysia, malah semua kapal di kawasan itu turut terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mini Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Negeri Sembilan, pada Selasa.
Menurut Mohamad, tindakan tersebut berpotensi memburukkan lagi bekalan tenaga global selain memberi kesan kepada rantaian ekonomi dan sektor pertanian, termasuk bekalan baja urea.
“Kita meminta supaya pihak AS mempertimbangkan semula tindakan ini dan kembali ke meja rundingan kerana ia hanya memburukkan lagi keadaan bekalan tenaga dunia,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu turut mempersoalkan pendirian AS yang dilihat bercanggah, memandangkan sebelum ini negara itu menggesa negara Eropah untuk membantu memastikan Selat Hormuz kekal terbuka.
“Saya tidak pasti apa tujuan sebenar AS menggunakan pendekatan mengepung Selat Hormuz, sedangkan sebelum ini mereka yang menggesa laluan itu dibuka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Iran sebelum ini dilaporkan bersetuju untuk membuka laluan Selat Hormuz dengan beberapa syarat dalam rundingan yang diadakan di Islamabad, namun keputusan tersebut masih bergantung kepada persetujuan AS.
Sehubungan itu, Mohamad turut menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan konflik geopolitik sebagai faktor yang menjejaskan kesejahteraan global.
“Kita tidak mahu dunia dijadikan tebusan kepada konflik yang tidak membawa manfaat. Pada masa sama, kita juga berharap Iran dapat mempertimbangkan kepentingan global dengan membenarkan kapal melalui laluan tersebut,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan Tentera Laut negara itu untuk melaksanakan tindakan pengepungan di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran.-The Merdeka Times