Connect with us

Terkini

Amaran penyorok beras, denda minimum RM50,000, penjara menanti

Published

on

Foto: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
  • Pemborong digesa segera mengambil 3,000 tan stok beras yang tersimpan di stor BERNAS bagi mengelakkan gangguan bekalan dan cubaan sabotaj harga.
  • Audit tegas sedang dijalankan terhadap pemborong yang didakwa menyorok beras, dengan ancaman denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara bagi melindungi kebajikan rakyat.

TELUPID – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengingatkan pemborong beras supaya segera mengambil bekalan yang dibeli daripada pembekal bagi memastikan kelancaran pengedaran dan bekalan kepada pengguna.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, terdapat 3,000 tan beras dibeli oleh beberapa pemborong tiga hari lalu, namun masih belum diambil dan tersimpan di stor Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Saya minta pemborong menyediakan lori untuk membawa keluar (mengangkut) bekalan beras yang telah ditempah (dari pembekal).

“Saya tidak mahu ia menjadi satu proses sabotaj oleh pemborong untuk kononnya menaikkan harga,” katanya kepada pemberita selepas program sesi libat urus bersama Jabatan Perparitan dan Saliran Sabah serta jamuan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan harga beras khususnya di Sabah tidak akan mengalami sebarang kenaikan kerana subsidi barang keperluan itu kekal berkuat kuasa.

Sementara itu, Jamawi berkata, pihaknya turut melakukan audit terhadap beberapa pemborong berhubung dakwaan ‘menyorok’ beras.

“Kita buat audit supaya ada bukti, dan sekiranya ada bukti (terhadap dakwaan tersebut), denda paling kurang RM50,000 dan juga hukuman penjara kepada pemilik lesen.

“Tidak ada kompromi, tidak ada belas kasihan kerana ia mengganggu kehidupan rakyat. Siasatan sedang dijalankan. Masa kita panggil, ada beberapa pemborong tidak hadir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, kira-kira RM1 bilion setahun dibelanjakan untuk keperluan beras import di Sabah.Justeru, katanya, kementeriannya menyasarkan pembangunan kawasan sawah padi terbiar di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan beras import dari Vietnam dan Thailand. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author