Terkini
Amalan ‘Ali Baba’ jejas ekonomi bumiputera, Sistem pemantauan didakwa lemah
- Penyelidik ekonomi, Dr. Zouhair Rosli berkata, kelemahan utama pada masa ini terletak pada ketidakselarasan maklumat antara kementerian dan agensi berkaitan, yang menyukarkan proses pengawasan dilakukan secara berkesan terhadap amalan ‘ali baba’.
- “Dalam tempoh 25 tahun lalu sejak tahun 2000, kerajaan telah menyalurkan kontrak bernilai RM1.7 trilion kepada Bumiputera. Nilai ini amat besar, hampir menyamai nilai keseluruhan ekonomi negara pada masa ini. Namun, sumbangannya tetap tidak meningkat secara ketara, sekadar sekitar satu peratus sahaja, manakala pihak bukan Bumiputera terus mendominasi pasaran.
- “Persoalannya, apa yang terjadi kepada dana RM1.7 trilion tersebut? Ada yang membangkitkan isu ‘Alibaba’ yang terus menghantui apabila kontrak yang diperoleh Bumiputera diserahkan sepenuhnya kepada subkontraktor lain yang kebanyakannya bukan Bumiputera,” soal beliau.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk melaksanakan sistem pemantauan yang lebih ketat dan bersepadu bagi membendung amalan ‘ali baba’ yang terus menjadi ‘barah’ dalam kemajuan kontraktor ekonomi Bumiputera.
Penyelidik ekonomi, Dr. Zouhair Rosli berkata, kelemahan utama pada masa ini terletak pada ketidakselarasan maklumat antara kementerian dan agensi berkaitan, yang menyukarkan proses pengawasan dilakukan secara berkesan.
Beliau menambah, wujud perbezaan maklumat antara agensi seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi mandat Bumiputera yang lain, yang mana data pemantauan yang dimiliki seringkali tidak konsisten atau tidak diselaraskan (streamline).
“Dalam tempoh 25 tahun lalu sejak tahun 2000, kerajaan telah menyalurkan kontrak bernilai RM1.7 trilion kepada Bumiputera. Nilai ini amat besar, hampir menyamai nilai keseluruhan ekonomi negara pada masa ini. Namun, sumbangannya tetap tidak meningkat secara ketara, sekadar sekitar satu peratus sahaja, manakala pihak bukan Bumiputera terus mendominasi pasaran.
“Persoalannya, apa yang terjadi kepada dana RM1.7 trilion tersebut? Ada yang membangkitkan isu ‘Alibaba’ yang terus menghantui apabila kontrak yang diperoleh Bumiputera diserahkan sepenuhnya kepada subkontraktor lain yang kebanyakannya bukan Bumiputera.
“Akhirnya, pemegang kontrak hanya memperoleh keuntungan atas angin tanpa membina keupayaan perniagaan. Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk membolehkan mereka mampu berniaga, bukan sekadar mengejar keuntungan. Apabila ini terjadi, sebab itu perniagaan Bumiputera susah hendak berkembang,” katanya dalam sesi bersama saluran Ekonomi Rakyat di laman YouTube baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zouhair berkata, beliau tidak menyalahkan peniaga Bumiputera semata-mata susulan perkembangan tersebut memandangkan ekosistem atau persekitaran perniagaan sedia ada tidak direka untuk menyokong mereka sepenuhnya.
Sebaliknya, tambah beliau, perkara berkenaan harus dirancang melalui dasar yang tepat.
“Saya tidak rasa dasar agenda Bumiputera sedia ada benar-benar mampu memastikan keseluruhan rantaian bekalan itu dimanfaatkan oleh perniagaan Bumiputera sepenuhnya.”
“Sebagai contoh, sektor pembinaan tidak boleh dilihat secara berasingan; bagaimana pula dengan aspek penyelenggaraan dan pembaikan dalam sektor pembuatan? Penglibatan Bumiputera dalam sektor pembuatan amat rendah, sekadar sekitar satu hingga dua peratus sahaja. Banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan kontraktor Bumiputera,” katanya lagi.
Ditanya sama ada sasaran ekuiti 30 peratus Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih relevan untuk Malaysia, beliau menegaskan bahawa fokus tersebut tidak lagi memberi makna besar kepada pembangunan Bumiputera di peringkat akar umbi.
Beliau memberikan contoh mudah di mana penduduk luar bandar, seperti di Besut, Terengganu atau Tandop, Kedah, rata-ratanya tidak memahami impak sebenar atau bagaimana mereka boleh meraih manfaat daripada sasaran ekuiti tersebut yang sehingga kini masih gagal dicapai.
Sehubungan itu, beliau menekankan dua fokus utama yang lebih kritikal iaitu meningkatkan pendapatan rakyat bagi merapatkan jurang kekayaan antara etnik, yang secara tidak langsung akan membolehkan rakyat memiliki lebihan simpanan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti secara organik.
“Kedua, memperkukuh penguasaan perniagaan Bumiputera dalam rantaian ekonomi negara bagi memastikan kemajuan yang lebih mampan dan menyeluruh,” katanya. – The Merdeka Times