Terkini
Adegan ‘panas’ teater di UM: Persembahan tidak selaras skrip asal – Universiti Malaya
- UM dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan.
- Menurut UM, pihak universiti tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan.
KUALA LUMPUR – Adegan panas dalam sebuah persembahan teater yang tular di media sosial didapati tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan.
Memandang serius perkara itu, Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan menegaskan, ia jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan.
Menurut UM, pihak universiti tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan.
“Persembahan berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan syarat-syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater (KARVITER) Universiti Malaya, setiap persembahan hendaklah bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.
Hari ini, tular video adegan tersebut di media sosial sehingga menyebabkan ramai pengguna media sosial mengecam tindakan tersebut dengan ada yang menganggapnya sebagai memalukan dan memburukkan nama serta imej UM sebagai sebuah universiti terkemuka. – The Merdeka Times