Terkini
329,000 tong diesel ke Filipina bukan dari Malaysia, Jangan buat spekulasi -MTEN
- MTEN menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang tepat.
- Dalam satu kenyataan berasingan, PETRONAS menafikan penglibatan syarikat itu dalam isu penghantaran bekalan diesel berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak pernah memeterai sebarang aturan sedemikian dengan mana-mana pihak di Filipina.
KUALA LUMPUR – Penghantaran sebanyak 329,000 tong diesel ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa.
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang tepat.
Dalam satu kenyataan berasingan, PETRONAS menafikan penglibatan syarikat itu dalam isu penghantaran bekalan diesel berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak pernah memeterai sebarang aturan sedemikian dengan mana-mana pihak di Filipina.
“Keutamaan tertinggi PETRONAS kekal untuk memastikan bekalan bahan api yang dipercayai dan berterusan untuk pasaran Malaysia, melalui koordinasi erat dengan kerajaan serta pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya.
Sebelum ini, Philippine News Agency dalam laporannya mendakwa kira-kira 329,000 tong atau 52,311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke negara itu bagi memperkukuh bekalan bahan api negara itu di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran minyak global yang dicetuskan oleh krisis di Timur Tengah.
Ketibaan terbaharu diesel perolehan kerajaan itu didakwa menyusuli penghantaran pertama sebanyak 142,000 tong, atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac lalu.
Langkah ini dikatakan selaras dengan arahan Presidennya, Ferdinand R. Marcos Jr. di bawah Perintah Eksekutif 110 untuk memastikan bekalan minyak yang stabil dan mencukupi dalam mendepani ketidakpastian pasaran luar yang kian memuncak.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Setiausaha Jabatan Tenaga (DOE) republik itu, Sharon Garin berkata, ketibaan penghantaran kedua ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan bekalan domestik memandangkan ketegangan di wilayah Teluk terus memuncak. – The Merdeka Times