Terkini
Umar Abdul Aziz tegas soal arak, Jadi contoh kepimpinan Islam
- Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi antara pendekatan tegas yang direkodkan ialah tindakan menghukum individu Muslim yang berada bersama peminum arak, meskipun individu tersebut tidak terlibat secara langsung.
- “Umar mendidik kita supaya tidak redha dengan kemungkaran, bahkan tidak bersama dengan mereka yang menganjurkan kemungkaran,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
- Dalam masa sama, Umar Abdul Aziz juga dilaporkan mengambil langkah menyekat aktiviti ekonomi berkaitan arak termasuk larangan pemindahan atau pengedaran dari satu kawasan ke kawasan lain.
KUALA LUMPUR – Ketegasan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam menangani isu arak wajar dijadikan rujukan dalam memahami pendekatan Islam terhadap kemungkaran, kata Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi.
Beliau menjelaskan, berdasarkan sumber-sumber klasik, Umar Abdul Aziz dikenali sebagai pemimpin yang tegas dalam membendung aktiviti berkaitan arak, termasuk terhadap umat Islam dan bukan Islam.
Menurutnya, antara pendekatan tegas yang direkodkan ialah tindakan menghukum individu Muslim yang berada bersama peminum arak, meskipun individu tersebut tidak terlibat secara langsung.
“Umar mendidik kita supaya tidak redha dengan kemungkaran, bahkan tidak bersama dengan mereka yang menganjurkan kemungkaran,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Tambah beliau, terhadap bukan Islam pula, Umar Abdul Aziz menetapkan supaya aktiviti berkaitan arak tidak dizahirkan secara terbuka dalam masyarakat.
Katanya, perkara itu selaras dengan prinsip kehidupan bersama dalam masyarakat majmuk, di mana aktiviti yang bercanggah dengan norma majoriti tidak dipamerkan secara terbuka.
Dalam masa sama, Umar Abdul Aziz juga dilaporkan mengambil langkah menyekat aktiviti ekonomi berkaitan arak termasuk larangan pemindahan atau pengedaran dari satu kawasan ke kawasan lain.
“Umar Abdul Aziz diriwayatkan sangat bertegas dalam menguruskan arak (punca kepada kerosakan manusia). Beliau melarang aktiviti import eksport arak, dari satu kampung ke satu kampung yang lain,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut merujuk pandangan ulama yang menyatakan bahawa Umar mengarahkan pemusnahan tempat pemprosesan arak milik Muslim sebagai langkah membanteras industri tersebut.
Menurut Ahmad Sanusi, ketegasan itu mencerminkan pendekatan kepimpinan yang bukan sahaja menolak kemungkaran, malah mengawal ekosistem yang menyumbang kepada kewujudannya.
“Muslim tidak dibenarkan terlibat langsung dalam urusan arak, manakala aktiviti bukan Muslim pula dihadkan daripada dizahirkan. Malah aktiviti ekonomi berkaitan turut diperketatkan,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan Umar Abdul Aziz memperlihatkan keseimbangan antara prinsip agama dan pengurusan masyarakat, khususnya dalam memastikan ketenteraman awam serta mengawal unsur yang boleh merosakkan moral.-The Merdeka Times