Terkini
Tiga kereta milik Cikgu Chandra dibakar
KUALA LUMPUR – Tiga buah kereta milik aktivis, Cikgu Chandra dilaporkan dibakar awal pagi tadi dalam satu kejadian yang dipercayai mempunyai unsur khianat di kediamannya.
Menurut pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 3 pagi apabila ketiga-tiga kenderaan milik Cikgu Chandra dibakar oleh individu tidak dikenali.
Katanya, dua daripada kenderaan tersebut berjaya dipadamkan selepas pihak polis dan bomba tiba di lokasi dengan segera.
“Petang tadi 3 buah kereta dengan beberapa lelaki memakai topeng penuh dan bersenjatakan parang cuba membunuh Cikgu Chandra.
“Awal pagi tadi dalam pukul lebih 3 pagi, mereka membakar ketiga-tiga buah kereta Cikgu Chandra! Mujur polis dan bomba sampai cepat untuk memadamkan api dan mengawal keadaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, kejadian tersebut menunjukkan peningkatan tindakan agresif oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Mereka makin ganas! Pengganas! Mohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera tangkap semua penghasut dan penyerang Cikgu Chandra serta Zamri Vinoth,” tegasnya.
Menurutnya lagi, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan dan memastikan keselamatan keluarga Cikgu Chandra.
“Ketika Cikgu Chandra menghubungi saya pada pukul 5.30 pagi tadi, dia memaklumkan pihak polis mengawal kawasan persekitaran rumahnya dan menjaga keselamatan keluarganya,” jelasnya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap semua individu yang terlibat.
“Saya yakin PDRM bakal menangkap suspek, dalang serta penghasut dalam waktu terdekat ini. Jangan marah polis kerana mereka sedang menjalankan tugas mereka. Sekali operasi, akan angkut semua. Percayalah,” ujarnya. – The Merdeka TImes