Terkini
Tiada perintah mahkamah henti roboh kuil – Peguam Yayasan Kubra
- “Setelah saya mendengar semula dengan penuh tekun Rakaman Transkripsi Mahkamah (CRT) Mahkamah Majistret, adalah jelas dan nyata tiada sebarang perintah Mahkamah mengarahkan henti sementara kerja roboh kuil haram ATAU sehingga diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam,” – Muhammad Hariz Md Yusoff, Peguam Yayasan Kubra
- Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pihak peguam kini menunggu arahan daripada anak guam Yayasan Kubra bagi mempertimbangkan tindakan penghinaan mahkamah terhadap pihak media atau individu yang didakwa menyiarkan laporan yang mengelirukan berhubung perkara tersebut.
- Setakat ini dua organisasi media iaitu Malaysia Gazette dan Sinar Harian telah memohon maaf kepada Yayasan Kubra atas laporan yang disifatkan mengelirukan.
KUALA LUMPUR — Peguam Yayasan Kubra memaklumkan bahawa tiada sebarang perintah Mahkamah Majistret yang mengarahkan kerja merobohkan sebuah kuil haram dihentikan sementara seperti yang dilaporkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Peguam yayasan berkenaan, Muhammad Hariz Md Yusoff, berkata pihaknya telah menerima secara rasmi Rakaman Transkripsi Mahkamah (CRT) serta Nota Prosiding Mahkamah Majistret Selayang bertarikh 13 Mac 2026 pada 16 Mac lalu.
Menurut beliau, selepas meneliti dan mendengar semula rakaman prosiding mahkamah tersebut secara terperinci, didapati tiada sebarang perintah mahkamah yang mengarahkan kerja merobohkan kuil itu dihentikan sementara atau ditangguhkan sehingga keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dibuat.
“Setelah saya mendengar semula dengan penuh tekun CRT Mahkamah Majistret, adalah jelas dan nyata tiada sebarang perintah Mahkamah mengarahkan henti sementara kerja roboh kuil haram ATAU sehingga diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pihak peguam kini menunggu arahan daripada anak guam Yayasan Kubra bagi mempertimbangkan tindakan penghinaan mahkamah terhadap pihak media atau individu yang didakwa menyiarkan laporan yang mengelirukan berhubung perkara tersebut.
Katanya, laporan yang tidak tepat berpotensi menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta mengganggu ketenteraman awam.
Menurut beliau lagi, setakat ini dua organisasi media iaitu Malaysia Gazette dan Sinar Harian telah memohon maaf kepada Yayasan Kubra atas laporan yang disifatkan mengelirukan.
Peguam tersebut turut menyeru semua pihak supaya tidak memanipulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat mengenai keputusan mahkamah, sebaliknya memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum dilaporkan kepada umum.-The Merdeka Times