Terkini
Suhakam bangkit kembali isu ICERD, MACSA gesa hormati perlembagaan
- Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Datuk Lukman Sheriff Alias mendakwa terdapat kecenderungan pihak tertentu mengulang kembali naratif keperluan meratifikasi ICERD.
- “Saya sudah menulis panjang lebar sebelum ini kenapa ICERD bercanggah dengan perlembagaan dan kenapa ratifikasi ICERD menyalahi perlembagaan. Tetapi mereka ini masih mengulangi beberapa hujah palsu/tidak berasas. Yang menjadi lebih teruk adalah hujah-hujah dan perlakuan mereka yang selektif atau tidak serupa bikin,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diseru supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan susulan dakwaan usaha menghidupkan semula isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Datuk Lukman Sheriff Alias mendakwa terdapat kecenderungan pihak tertentu mengulang kembali naratif keperluan meratifikasi ICERD.
Menurut beliau, usaha itu dilihat sebagai satu gerakan tersusun apabila isu tersebut kembali dibangkitkan termasuk melalui penerbitan artikel dalam jurnal undang-undang serta kenyataan pihak berkaitan.
Beliau menegaskan bahawa ratifikasi ICERD tidak semestinya menjadi syarat untuk menangani isu diskriminasi, sebaliknya langkah menggubal undang-undang tempatan boleh dilaksanakan tanpa perlu melibatkan komitmen antarabangsa.
“Kita boleh cadangkan undang-undang anti diskriminasi atau pindaan perlembagaan jika mahu… bukan menggunakan tekanan luar melalui ratifikasi ICERD,” katanya dalam satu kenyataan.
Lukman turut mempersoalkan sikap yang disifatkan sebagai selektif dalam memperjuangkan isu diskriminasi, termasuk dakwaan bahawa terdapat kes-kes tertentu yang tidak diberi perhatian sewajarnya.
Beliau memberi contoh isu berkaitan rumah ibadat tidak berlesen yang menurutnya melibatkan persoalan pematuhan undang-undang, namun sering dilihat dari sudut kaum dan agama semata-mata.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan perbincangan mengenai sistem pendidikan berasaskan aliran yang menurutnya boleh dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi, namun tidak disentuh secara menyeluruh dalam wacana awam.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa sebarang perubahan terhadap elemen dalam Perlembagaan perlu dilakukan melalui proses kompromi baharu yang menyeluruh dan melibatkan semua pihak.
Katanya, pendekatan menggunakan tekanan luar melalui ratifikasi konvensyen antarabangsa adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan keseimbangan yang telah dipersetujui sebelum ini.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Suhakam perlu bertindak dalam kerangka undang-undang sedia ada, selaras dengan peruntukan yang menetapkan bahawa hak asasi perlu ditafsirkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Peranan Suhakam adalah dalam lingkungan perlembagaan, bukan melangkaui batas yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya sebarang perbahasan mengenai isu diskriminasi dan hak asasi manusia dilakukan secara adil, menyeluruh dan berasaskan realiti tempatan tanpa dipengaruhi naratif luar.-The Merdeka Times