Terkini
Sepanyol tidak benar AS guna pangkalan serang Iran
- Sepanyol menegaskan Amerika Syarikat (AS) tidak menggunakan dan tidak akan menggunakan pangkalan tentera bersama di wilayahnya bagi melancarkan serangan terhadap Iran, satu operasi yang dikecam kerajaan negara itu.
- Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menegaskan kerajaan Sepanyol tidak akan membenarkan penggunaan pangkalan tentera di Rota dan pangkalan udara Moron untuk tujuan yang melangkaui perjanjian sedia ada atau yang bercanggah dengan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
MADRID – Sepanyol menegaskan Amerika Syarikat (AS) tidak menggunakan dan tidak akan menggunakan pangkalan tentera bersama di wilayahnya bagi melancarkan serangan terhadap Iran, satu operasi yang dikecam kerajaan negara itu.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya setakat ini, pangkalan tentera di Sepanyol tidak digunakan untuk operasi ketenteraan berkenaan.
“Berdasarkan semua maklumat yang saya ada, pangkalan-pangkalan itu tidak digunakan untuk operasi ketenteraan ini,” katanya kepada televisyen awam Sepanyol pada Isnin.
Perdana Menteri Pedro Sanchez sebelum ini mengutuk serangan AS dan Israel ke atas Iran yang bermula Sabtu lalu sebagai satu campur tangan ketenteraan yang “tidak berasas” dan “berbahaya”, serta di luar kerangka undang-undang antarabangsa.
Albares menegaskan kerajaan Sepanyol tidak akan membenarkan penggunaan pangkalan tentera di Rota dan pangkalan udara Moron untuk tujuan yang melangkaui perjanjian sedia ada atau yang bercanggah dengan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
AS beroperasi di kedua-dua pangkalan tersebut menerusi perjanjian penggunaan bersama, namun kedaulatan tetap berada di bawah Sepanyol.
Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles, turut menjelaskan bahawa pangkalan berkenaan tidak akan memberi sebarang sokongan kepada operasi ketenteraan terhadap Iran, kecuali jika terdapat keperluan dari sudut kemanusiaan.
Dalam masa sama, Sepanyol juga mengutuk serangan balas Iran ke atas beberapa negara Teluk.
Menurut peta yang diterbitkan laman penjejakan penerbangan FlightRadar24 pada Isnin, sebanyak 15 pesawat AS dilaporkan berlepas dari pangkalan di selatan Sepanyol sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran. Sekurang-kurangnya tujuh pesawat itu dilaporkan mendarat di pangkalan udara Ramstein di Jerman.
Pendekatan Sepanyol itu dilihat berbeza berbanding beberapa negara utama Eropah lain.
United Kingdom pada awalnya turut menolak penggunaan pangkalannya untuk serangan ke atas Iran, namun pada Ahad, Perdana Menteri Keir Starmer membenarkan penggunaannya atas alasan “pertahanan diri kolektif”, susulan serangan balas Iran yang menyasarkan aset AS di Asia Barat dan infrastruktur tenaga di rantau Teluk.
Dalam satu kenyataan bersama pada Ahad, para pemimpin menyatakan mereka terkejut dengan serangan peluru berpandu Iran yang disifatkan sebagai tidak seimbang dan menyasarkan negara-negara yang tidak terlibat dalam operasi ketenteraan awal AS dan Israel.
“Kami bersetuju untuk bekerjasama dengan AS dan sekutu di rantau ini berhubung perkara ini,” menurut kenyataan tersebut.-The Merdeka Times.