Terkini
Sepanyol panggil balik duta besarnya ke Israel, bantah perang Iran, genosid Gaza
- Kerajaan Sepanyol telah memutuskan untuk menarik balik duta besarnya ke Israel, menurut warta rasmi kerajaan negara itu.
- Perdana Menteri, Pedro Sánchez, antara pemimpin di Eropah yang mengecam serangan AS dan Israel ke atas Iran sebagai “tidak boleh dibenarkan” dan berkata pendirian Madrid adalah “tidak kepada perang”.
- Langkah itu diambil ketika Sepanyol menjadi antara pengkritik paling lantang dalam Kesatuan Eropah terhadap perang genosid Israel di Gaza serta perang terbaharu AS-Israel terhadap Iran.
MADRID – Kerajaan Sepanyol telah memutuskan untuk menarik balik duta besarnya ke Israel, menurut warta rasmi kerajaan negara itu.
Langkah itu diambil ketika Sepanyol menjadi antara pengkritik paling lantang dalam Kesatuan Eropah terhadap perang genosid Israel di Gaza serta perang baharu terhadap Iran yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel.
“Atas cadangan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Kesatuan Eropah dan Kerjasama, serta selepas pertimbangan oleh Majlis Menteri dalam mesyuaratnya pada 10 Mac 2026, dengan ini saya memerintahkan penamatan pelantikan Ana María Sálomon Pérez sebagai Duta Sepanyol ke Negara Israel,” menurut warta tersebut yang dilaporkan Al Jazeera.
Kedutaan Sepanyol di Tel Aviv akan diketuai seorang chargé d’affaires, kata satu sumber di Kementerian Luar, menurut agensi berita Reuters.
Perdana Menteri negara itu, Pedro Sánchez, merupakan antara segelintir pemimpin berhaluan kiri di Eropah yang mengecam serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran sebagai “tidak boleh dibenarkan” dan berkata pendirian Madrid adalah “tidak kepada perang”.
Kerajaan Sánchez juga merupakan antara beberapa negara Eropah yang secara konsisten mengecam tindakan Israel di Gaza.
Pada Oktober, parlimen Sepanyol meluluskan undang-undang yang menetapkan sekatan senjata sepenuhnya terhadap Israel, sekali gus mengharamkan secara kekal penjualan senjata, pertukaran teknologi dan peralatan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap genosid tersebut. – The Merdeka Times