Terkini
Sekutu AS, termasuk UK tolak seruan Trump mahu NATO bantu buka semula Selat Hormuz
- Presiden AS, Donald Trump berkata pentadbirannya menghubungi tujuh negara, tetapi enggan menamakan negara itu. Dalam satu hantaran media sosial sebelum ini, beliau berkata berharap China, Perancis, Jepun, Korea Selatan, Britain dan negara lain akan turut serta.
- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata beliau tidak akan “terheret ke dalam perang Iran yang lebih luas”, sambil menegaskan beliau sedang bekerjasama dengan sekutu untuk membuka semula Selat itu.
- “Biar saya jelaskan, peperangan itu bukan dan tidak pernah dirancang sebagai misi NATO,” katanya.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada hujung minggu lalu menggesa sekutu-sekutunya supaya membantu memberi jaminan keselamatan di Selat Hormuz ketika tentera Iran terus melancarkan serangan ke atas laluan perairan penting itu di tengah-tengah perang AS-Israel terhadap Iran, yang kini memasuki minggu ketiga.
Trump berkata pentadbirannya telah menghubungi tujuh negara, tetapi enggan menamakan negara tersebut. Dalam satu hantaran media sosial sebelum ini, beliau berkata berharap China, Perancis, Jepun, Korea Selatan, Britain dan negara lain akan turut serta.
Iran secara efektif telah menutup Selat Hormuz, laluan air sempit di antara Iran dan Oman, sekali gus menjejaskan kira-kira satu perlima bekalan minyak global dalam gangguan terbesar yang pernah berlaku.
Jepun antara negara yang memberitahu pada masa ini tidak merancang untuk menghantar kapal tentera laut bagi mengiringi kapal di Timur Tengah, kata Perdana Menteri, Sanae Takaichi pada Isnin.
“Kami belum membuat sebarang keputusan untuk menghantar kapal pengiring. Kami sedang meneliti apa yang boleh dilakukan Jepun secara sendiri dan apa yang boleh dilakukan dalam kerangka undang-undang,” kata Takaichi kepada parlimen yang dipetik TRT.
Takaichi akan ke Washington minggu ini untuk berbincang dengan Trump, yang menurutnya akan turut merangkumi konflik dengan Iran.
Australia pula menjelaskan mereka tidak akan menghantar kapal tentera laut untuk membantu membuka semula Selat Hormuz, kata seorang menteri kerajaan pada Isnin.
“Kami tidak akan menghantar kapal ke Selat Hormuz. Kami tahu betapa pentingnya perkara itu, tetapi kami tidak diminta berbuat demikian dan itu bukan sumbangan yang kami berikan,” kata Catherine King, anggota kabinet Perdana Menteri, Anthony Albanese, dalam temu bual dengan penyiar negara ABC.
Korea Selatan pula enggan membantu AS.
“Kami akan berkomunikasi rapat dengan AS mengenai perkara ini dan membuat keputusan selepas semakan teliti,” kata pejabat presiden Korea Selatan pada Ahad.
Di bawah perlembagaan Korea Selatan, penempatan tentera ke luar negara memerlukan kelulusan parlimen, dan tokoh pembangkang berkata sebarang penghantaran kapal perang ke Selat itu memerlukan persetujuan badan perundangan.
Sementara itu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata beliau tidak akan “terheret ke dalam perang Iran yang lebih luas”, sambil menegaskan bahawa beliau sedang bekerjasama dengan sekutu untuk membuka semula Selat tersebut.
“Kami sedang bekerjasama dengan pihak lain untuk merangka pelan yang boleh dipercayai bagi Selat Hormuz bagi memastikan perkapalan dan laluan melalui Selat itu dapat dibuka semula. Biar saya jelaskan, itu bukan dan tidak pernah dirancang untuk menjadi misi NATO,” katanya kepada wartawan.
Menteri luar EU pula berkata EU membincangkan pengukuhan satu misi tentera laut kecil di Timur Tengah, namun mereka tidak dijangka membincangkan peluasan peranannya untuk merangkumi Selat yang kini terhalang itu, kata diplomat dan pegawai.
Misi Aspides EU yang dinamakan sempena perkataan Yunani, bermaksud “perisai”, ditubuhkan pada 2024 untuk melindungi kapal daripada serangan kumpulan pemberontak Houthi dari Yaman di Laut Merah.
Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius berkata Jerman tidak akan mengambil bahagian dengan tenteranya untuk mengamankan Selat tersebut.
“Apa yang Trump harapkan daripada beberapa kapal frigat Eropah yang tidak mampu dilakukan Tentera Laut AS yang jauh lebih kuat? Ini bukan perang kami, dan kami tidak memulakannya,” kata Pistorius.
Menteri Luar, Johann Wadephul berkata dalam temu bual dengan televisyen ARD pada Ahad bahawa beliau “sangat skeptikal” bahawa memperluaskan misi Aspides ke Selat Hormuz akan meningkatkan keselamatan.
Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen, sebelum mesyuarat menteri EU pula berkata bahawa adalah bijak untuk kekal terbuka terhadap persoalan ini “sebagai negara kecil seperti kami, tetapi negara maritim yang besar”.
Walaupun Eropah mungkin tidak menyokong keputusan AS-Israel untuk berperang, “kita mesti menghadapi dunia sebagaimana adanya, bukan sebagaimana yang kita inginkan,” katanya kepada wartawan.
Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata pada Isnin bahawa diplomasi adalah cara yang betul untuk menyelesaikan krisis di Selat tersebut, sambil menambah bahawa tiada misi tentera laut yang disertai Itali yang boleh diperluaskan ke kawasan itu.
Sementara itu, seorang jurucakap kerajaan Greeece berkata bahawa Greece tidak akan terlibat dalam operasi ketenteraan di Selat Hormuz. – The Merdeka Times