Connect with us

Terkini

Sanusi nafi projek LRA inisiatif PMX, Dakwa naratif dipolitikkan

Published

on

Foto: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
  • “Projek ini mula masuk tapak 2021, kawan itu tak mari pusing Kulim lagi. Dia sebar kata projek ini PMX (Anwar) yang beri. Masa itu PMX tak jadi PM lagi. Saya mahu betulkan naratif itu.
  • “Pilihan raya umum November 2022, ada yang kata semua projek LRA ini diberikan oleh Perdana Menteri ketika ini. Saya pun hairan, bila masa dia jadi Perdana Menteri? Ini fakta, bukan cerita politik,” – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
  • Beliau turut menjelaskan bahawa Kedah berdepan cabaran besar dalam sektor air apabila didapati ketinggalan kira-kira 15 tahun dari segi pembangunan infrastruktur sejak pengkorporatan Jabatan Bekalan Air kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada 2008.

BANDAR BAHARU – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan bahawa projek-projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau menegaskan dakwaan tersebut hanyalah naratif politik yang sengaja digembar-gemburkan sehingga mengelirukan rakyat mengenai fakta sebenar pelaksanaan projek berkenaan.

“Bila isu-isu seperti ini menjadi alat politik, ditempekkan masalah ini kepada orang-orang tertentu supaya ia dilihat sebagai lambang kegagalan, maka rakyat tidak mendapat naratif yang betul,” katanya.

Menurut beliau, projek LRA berkenaan telah dimulakan lebih awal, iaitu sekitar tahun 2021 sebelum perubahan kerajaan Persekutuan.

“Projek ini mula masuk tapak 2021, kawan itu tak mari pusing Kulim lagi. Dia sebar kata projek ini PMX (Anwar) yang beri. Masa itu PMX tak jadi PM lagi. Saya mahu betulkan naratif itu.

“Pilihan raya umum November 2022, ada yang kata semua projek LRA ini diberikan oleh Perdana Menteri ketika ini. Saya pun hairan, bila masa dia jadi Perdana Menteri? Ini fakta, bukan cerita politik,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Menaik Taraf LRA Lubuk Buntar Lama di sini.

Sanusi berkata, kecenderungan mempolitikkan isu asas seperti bekalan air hanya akan menimbulkan kekeliruan dan kemarahan rakyat jika fakta sebenar tidak dijelaskan dengan tepat.

Beliau menegaskan, isu bekalan air sepatutnya dilihat dari sudut teknikal dan keperluan infrastruktur, bukannya dijadikan alat untuk menyerang mana-mana pihak.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Kedah berdepan cabaran besar dalam sektor air apabila didapati ketinggalan kira-kira 15 tahun dari segi pembangunan infrastruktur sejak pengkorporatan Jabatan Bekalan Air kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada 2008.

Katanya, kerajaan negeri kini berusaha mengejar jurang tersebut, namun berdepan peningkatan keperluan semasa yang semakin mendesak.

Mengulas kelewatan beberapa projek, beliau berkata faktor utama adalah kenaikan harga bahan binaan serta kekangan bekalan, bukannya kelemahan pentadbiran negeri.

Tambahnya, pemberian lanjutan masa (EOT) merupakan prosedur biasa dalam pelaksanaan projek dan diputuskan oleh jawatankuasa teknikal.

Sanusi turut menegaskan pemilihan kontraktor dilaksanakan melalui proses tender yang telus, bukan keputusan individu.

Beliau berharap penjelasan berasaskan fakta dapat membantu rakyat memahami situasi sebenar serta menolak naratif yang disifatkan mengelirukan dan bermotif politik.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author