Terkini
Polis akan panggil Arun Dorasamy isu kuil Rawang
- Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini pihaknya menerima lapan laporan daripada pelbagai individu yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh individu berkenaan.
- “Kita sedang menjalankan siasatan dan kes dirujuk sebagai ROR (refer other report), iaitu merujuk kepada kes awal melibatkan isu kuil terbabit,” – Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar
SHAH ALAM – Polis Selangor akan memanggil seorang individu dikenali sebagai Arun Dorasamy bagi membantu siasatan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung isu kuil di Rawang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini pihaknya menerima lapan laporan daripada pelbagai individu yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh individu berkenaan.
Menurut beliau, laporan-laporan tersebut berkait dengan dakwaan kenyataan yang dibuat mempunyai unsur yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Kita sedang menjalankan siasatan dan kes dirujuk sebagai ROR (refer other report), iaitu merujuk kepada kes awal melibatkan isu kuil terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.
Mengulas lanjut mengenai isu perobohan binaan yang didakwa tidak mendapat kebenaran di atas tanah milik penuh Yayasan Kubra, Shazeli memaklumkan pihaknya turut menerima satu laporan daripada pengurusan kuil berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan lapan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO) terhadap Arun yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berkaitan isu kuil di Rawang.
Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff dilaporkan berkata tindakan tersebut diambil susulan dakwaan bahawa kenyataan individu berkenaan mengandungi unsur perkauman dan agama sehingga mencetuskan kegusaran awam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Yayasan Kubra selaku pemilik berdaftar tanah terbabit menegaskan isu yang timbul adalah berkaitan dakwaan pencerobohan tanah yang didakwa berlaku sejak sekian lama, dan bukannya melibatkan sentimen perkauman atau keagamaan.-The Merdeka Times