Terkini
“Penguatkuasaan ada atau tidak?” MCA desak Anthony Loke jawab isu pemandu mabuk
- Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low mendesak Kementerian Pengangkutan tampil memberi penjelasan berhubung tahap penguatkuasaan serta kesinambungan kempen kesedaran terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
- “Adakah tiada penguatkuasaan dijalankan? Adakah kempen kesedaran awam mengenai bahayanya pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang digerakkan sebelum ini dihentikan selepas pertukaran kerajaan?” soalnya.
KUALA LUMPUR – Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low mendesak Kementerian Pengangkutan tampil memberi penjelasan berhubung tahap penguatkuasaan serta kesinambungan kempen kesedaran terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Beliau menegaskan, kerajaan semasa khususnya kementerian yang dipimpin Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu mengambil langkah susulan yang jelas dan berkesan bagi membendung isu tersebut daripada terus berulang.
“Adakah tiada penguatkuasaan dijalankan? Adakah kempen kesedaran awam mengenai bahayanya pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang digerakkan sebelum ini dihentikan selepas pertukaran kerajaan?” soalnya.
Menurut beliau, tindakan kerajaan tidak boleh bersifat reaktif semata-mata selepas berlakunya tragedi, sebaliknya memerlukan pendekatan yang tegas, konsisten dan berterusan.
“Nyawa manusia tiada galang gantinya. Keselamatan pengguna jalan raya lain tidak patut dipertaruhkan akibat kecuaian pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Gesaan itu dibuat susulan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar di Klang, yang dipercayai dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Lawrence berkata, isu pemandu mabuk dan dipengaruhi dadah telah lama diberi perhatian termasuk melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperketat hukuman terhadap pesalah.
Katanya, pindaan melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 itu telah diluluskan Parlimen dan dikuatkuasakan sejak 23 Oktober 2020.
Selain penguatkuasaan, beliau menekankan kepentingan kempen kesedaran awam yang pernah dilaksanakan secara meluas bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya pemanduan dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah.
Menurutnya, pendekatan menyeluruh yang melibatkan pendidikan dan penguatkuasaan perlu diteruskan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
Beliau turut menegaskan bahawa isu tersebut tidak harus dipolitikkan atau dikaitkan dengan kaum dan agama, sebaliknya dilihat sebagai isu keselamatan awam yang melibatkan semua pihak.
“Langkah tegas serta komitmen berterusan daripada Kementerian pengangkutan dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang,” katanya.-The Merdeka Times