Connect with us

Terkini

Penggunaan ayat Quran sokong agenda LGBT satu penyelewengan – Mufti Pulau Pinang

Published

on

Foto: Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman.
  • Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman  merujuk kepada perkongsian di media sosial berkaitan satu himpunan sambutan Hari Wanita di ibu negara yang dianjurkan sebuah kumpulan baru-baru ini.
  • Dalam perhimpunan itu, peserta dilihat membawa sepanduk menyokong LGBT dan satu daripadanya memetik ayat daripada Surah Ar-Rum ayat 21, yang disertakan dengan mesej membawa maksud Tuhan mengizinkan seseorang menjadi “pelangi”, simbol yang sering dikaitkan dengan identiti LGBT.

GEORGE TOWN – Penggunaan ayat al-Quran bagi menyokong agenda LGBT disifatkan sebagai satu penyelewengan terhadap makna sebenar wahyu yang perlu diperbetulkan melalui penjelasan ilmiah serta pendidikan kepada masyarakat, menurut Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman.

Beliau merujuk kepada perkongsian di media sosial berkaitan satu himpunan sambutan Hari Wanita di ibu negara yang dianjurkan sebuah kumpulan baru-baru ini.

Dalam perhimpunan itu, peserta dilihat membawa sepanduk menyokong LGBT dan satu daripadanya memetik ayat daripada Surah Ar-Rum ayat 21, yang disertakan dengan mesej membawa maksud Tuhan mengizinkan seseorang menjadi “pelangi”, simbol yang sering dikaitkan dengan identiti LGBT.

Mereka juga membawa sepanduk yang memaparkan tulisan halal pada poster ilustrasi dua wanita yang digambarkan sebagai hubungan sama jenis.

Dr Mohd Sukki berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan besar dari sudut kefahaman agama serta integriti terhadap teks suci al-Quran.

“Ayat yang dipetik dalam Surah Ar-Rum tersebut sebenarnya menjelaskan tentang salah satu tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan manusia, iaitu penciptaan pasangan antara lelaki dan perempuan bagi membentuk ketenangan hidup melalui institusi perkahwinan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ayat tersebut menerangkan bahawa Allah menciptakan pasangan daripada jenis manusia sendiri supaya manusia memperoleh ketenteraman, selain wujudnya rasa kasih sayang dan rahmat antara pasangan, dan bukannya membenarkan LGBT.

Katanya, para ulama tafsir seperti dalam Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Qurtubi turut menjelaskan bahawa ayat itu secara jelas merujuk kepada hubungan antara lelaki dan perempuan sebagai asas pembentukan keluarga serta kelangsungan keturunan manusia.

“Justeru, penggunaan ayat ini untuk menyokong hubungan sesama jantina merupakan suatu bentuk penyalahgunaan terhadap teks al-Quran kerana ia menafsirkan ayat tersebut di luar daripada maksud yang difahami oleh para ulama sepanjang sejarah Islam,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata fenomena gerakan LGBT yang muncul dalam himpunan tertentu seperti sambutan Hari Wanita Sedunia juga bukan sesuatu yang asing di pelbagai negara.

Menurutnya, gerakan tersebut sering menggunakan platform hak asasi atau hak wanita sebagai ruang untuk memperkenalkan dan menormalisasikan agenda mereka dalam masyarakat.

“Dalam konteks Islam, memperjuangkan hak wanita merupakan sesuatu yang selaras dengan ajaran agama kerana Islam sendiri sejak awal telah mengangkat martabat wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Namun perjuangan tersebut tidak seharusnya dijadikan medium untuk mempromosikan gaya hidup yang bertentangan dengan prinsip syariah dan nilai moral masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila terdapat individu beragama Islam sendiri terlibat dalam memperjuangkan agenda tersebut tanpa memahami implikasi dari sudut akidah dan syariah.

Menurutnya, situasi itu menunjukkan bahawa cabaran utama yang dihadapi masyarakat hari ini bukan sekadar isu perundangan atau moral, tetapi turut berkait rapat dengan kefahaman agama, pendidikan nilai serta pengaruh ideologi global yang semakin meluas melalui media dan budaya popular.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai konsep fitrah manusia, peranan institusi keluarga serta panduan syariah dalam kehidupan perlu dipertingkatkan secara berterusan.

Dalam menghadapi perkembangan tersebut, beliau berkata pendekatan Islam perlu berasaskan keseimbangan antara ketegasan prinsip dan hikmah dalam dakwah.

“Dari sudut prinsip, Islam mempunyai pendirian yang jelas bahawa hubungan sesama jantina adalah bertentangan dengan fitrah manusia dan dilarang dalam syariat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa perkara itu turut disebut dalam kisah kaum Nabi Lut yang dirakamkan dalam Surah Al-A’raf ayat 80 hingga 81, yang menggambarkan perbuatan tersebut sebagai suatu perbuatan yang melampaui batas.

“Namun dalam masa yang sama, pendekatan terhadap individu yang terlibat dengan kecenderungan tersebut perlu dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

“Islam membezakan antara menolak perbuatan yang salah dengan menghukum individu secara membuta tuli,” katanya.

Menurutnya, golongan yang berdepan dengan kecelaruan identiti atau kecenderungan tersebut tetap merupakan anggota masyarakat yang memerlukan bimbingan, pendidikan serta sokongan yang sewajarnya.

Beliau berkata usaha dakwah, kaunseling dan pendidikan nilai perlu diperkasakan agar mereka dapat dibimbing kembali kepada fitrah yang sebenar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan institusi kerajaan, pihak berkuasa agama serta masyarakat sivil turut mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan nilai agama dan moral terus dipelihara dalam ruang awam.

Katanya, pendidikan akidah, pengukuhan institusi keluarga serta penyampaian ilmu agama yang jelas dan berhikmah perlu dijadikan agenda utama dalam menghadapi cabaran ideologi yang semakin kompleks pada masa kini.

 “Pada masa yang sama, umat Islam perlu mempertahankan prinsip ajaran agama dengan tegas, sambil terus mengamalkan pendekatan dakwah yang berhikmah dan penuh kasih sayang,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan yang seimbang antara ketegasan prinsip dan hikmah dalam dakwah menjadi asas penting dalam usaha memelihara nilai agama serta keharmonian masyarakat dalam menghadapi cabaran zaman. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author