Connect with us

Terkini

Meta sekat Facebook Firdaus Wong di Malaysia, Dakwa atas permintaan SKMM

Published

on

Foto: Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.
  • Menerusi satu hantaran di Facebook, Firdaus memaklumkan bahawa bukan sahaja beberapa kandungan berkaitan isu DBKL dihadkan, malah keseluruhan halaman Facebook beliau turut disekat daripada diakses oleh pengguna IP Malaysia.
  • “Saya tidak pernah menerima sebarang notis dari SKMM tentang mana-mana posting saya yang melanggar peraturan & tidak pernah dipanggil, ditahan atau didakwa atas sebarang akta SKMM. Yang saya kongsi selama ini hanyalah kebenaran & fakta semata-mata. Adakah kerajaan takut dengan kebenaran & fakta yang saya kongsikan?,” soal beliau.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa akaun Facebook miliknya yang mempunyai kira-kira 609,000 pengikut telah disekat aksesnya di Malaysia oleh Meta, dipercayai atas permintaan pihak berkuasa.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Firdaus memaklumkan bahawa bukan sahaja beberapa kandungan berkaitan isu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dihadkan, malah keseluruhan halaman Facebook beliau turut disekat daripada diakses oleh pengguna IP Malaysia.

Menurutnya, beliau tidak pernah menerima sebarang notis rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan pelanggaran mana-mana peraturan, selain tidak pernah dipanggil, ditahan atau didakwa di bawah mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan komunikasi dan multimedia.

“Saya tidak pernah menerima sebarang notis dari SKMM tentang mana-mana posting saya yang melanggar peraturan & tidak pernah dipanggil, ditahan atau didakwa atas sebarang akta SKMM.

“Yang saya kongsi selama ini hanyalah kebenaran & fakta semata-mata. Adakah kerajaan takut dengan kebenaran & fakta yang saya kongsikan?,” soal beliau.

Firdaus turut mendakwa telah mengarahkan peguam-peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan atas alasan penyalahgunaan kuasa serta menghalang kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mempersoalkan tindakan tersebut yang menurutnya berlaku selepas lebih 10 hari daripada hantaran asal mengenai tindakan DBKL merampas reruai Street Dakwah MRM pada 17 Februari lalu.

Katanya, isu berkenaan telah dianggap selesai selepas pertemuan dengan pihak berkaitan dan pemulangan barangan pada 23 Februari.

Menurut kronologi yang dikongsikan, pada 26 Februari, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, telah menjawab isu tersebut di Parlimen.


Firdaus kemudian memaklumkan hasrat untuk memberi respons terhadap jawapan berkenaan dalam satu hantaran susulan.

Bagaimanapun, pada lewat malam 28 Februari, beliau menerima notifikasi daripada Facebook bahawa hantaran bertarikh 17 Februari itu telah dihadkan di Malaysia atas permintaan SKMM.

Firdaus menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelik dan menimbulkan persoalan, memandangkan menurutnya kes telah selesai dan tiada tindakan undang-undang diambil terhadapnya sekiranya benar berlaku pelanggaran undang-undang.

Beliau turut membandingkan situasi semasa dengan pentadbiran terdahulu, mendakwa bahawa sekatan seumpama itu tidak pernah berlaku ketika menteri komunikasi sebelum ini memegang jawatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kandungan yang dikongsikan hanyalah berdasarkan fakta dan tidak menyentuh mana-mana individu secara peribadi.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh SKMM mahupun Meta berhubung dakwaan sekatan tersebut.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author