Terkini
Laluan Hormuz dibuka tapi bukan untuk musuh -Iran
- Dalam satu nota rasmi yang dihantar kepada PBB serta Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Iran menegaskan bahawa kapal dari mana-mana negara boleh menggunakan laluan strategik itu selagi mereka tidak terlibat atau menyokong sebarang tindakan agresif terhadap negara tersebut.
- Bagaimanapun, Iran secara tegas menyatakan bahawa kapal, aset atau peralatan yang berkaitan dengan Amerika Syarikat dan Israel, termasuk mana-mana pihak yang menyokong tindakan ketenteraan terhadap Iran, tidak layak untuk mendapat laluan selamat tersebut.
TEHRAN – Iran memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa hanya kapal yang diklasifikasikan sebagai “tidak memusuhi” atau mengancam negaranya dibenarkan melalui Selat Hormuz, dengan syarat mematuhi peraturan keselamatan dan berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran.
Dalam satu nota rasmi yang dihantar kepada PBB serta Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Iran menegaskan bahawa kapal dari mana-mana negara boleh menggunakan laluan strategik itu selagi mereka tidak terlibat atau menyokong sebarang tindakan agresif terhadap negara tersebut.
Menurut dokumen yang dilihat Reuters, Iran menekankan bahawa laluan selamat di Selat Hormuz masih terbuka, namun tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Tehran.
Bagaimanapun, Iran secara tegas menyatakan bahawa kapal, aset atau peralatan yang berkaitan dengan Amerika Syarikat dan Israel, termasuk mana-mana pihak yang menyokong tindakan ketenteraan terhadap Iran, tidak layak untuk mendapat laluan selamat tersebut.
Langkah itu diambil susulan konflik ketenteraan antara Iran dengan pakatan Amerika Syarikat-Israel yang semakin memuncak, sehingga menjejaskan aliran kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia yang biasanya melalui Selat Hormuz.
Iran dalam kenyataannya turut menyatakan bahawa tindakan kawalan tersebut adalah perlu dan seimbang bagi menghalang pihak mush daripada mengeksploitasi laluan strategik itu untuk tujuan ketenteraan.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia, dan sebarang gangguan di kawasan tersebut memberi kesan langsung kepada harga serta kestabilan bekalan tenaga global.-The Merdeka Times