Connect with us

Terkini

Kuil Haram, ekstremisme dan kegagalan negara bertindak

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

Malaysia sejak sekian lama berbangga dengan naratif “keharmonian antara agama”.

Namun kebelakangan ini, rentetan beberapa insiden keganasan yang dikaitkan dengan polemik rumah ibadat haram menimbulkan persoalan yang jauh lebih besar, adakah negara sedang gagal mengawal radikalisasi agama sebelum ia meletus menjadi keganasan?

Serangan terhadap pempengaruh media sosial Zamri Vinoth serta cubaan membunuh terhadap Cikgu Chandra termasuk pembakaran tiga kenderaannya, bukan lagi sekadar kes jenayah terpencil.

Ia memberi gambaran wujudnya sentimen ekstrem yang semakin berani bertindak secara fizikal.

Lebih membimbangkan, insiden ini berlaku dalam suasana polemik panjang berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah khususnya kuil yang didirikan di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian tanpa kebenaran perancangan tempatan.

Hakikatnya, isu ini bukan perkara baharu.

Selama berdekad, banyak pihak berkuasa tempatan memilih pendekatan “biar dulu” berbanding penguatkuasaan tegas. Kuil didirikan, struktur kekal dibina, kemudian selepas puluhan tahun barulah konflik tercetus apabila pembangunan atau pemilikan tanah dipertikaikan.

Inilah akar masalah sebenar, kegagalan tadbir urus dan penguatkuasaan sejak awal.

Apabila undang-undang tidak ditegakkan secara konsisten, ia melahirkan dua persepsi berbahaya.

Pertama, bahawa undang-undang boleh diabaikan jika cukup lama. Kedua, bahawa tekanan massa atau emosi agama boleh digunakan untuk mempertahankan sesuatu yang pada asalnya tidak sah di sisi undang-undang.

Lebih parah, kekosongan ini akhirnya diisi oleh kelompok yang lebih radikal. Di sinilah kita melihat retorik ekstrem mula muncul sehingga sebahagiannya sanggup menggunakan keganasan fizikal.

Dalam konteks ini, serangan terhadap individu seperti Zamri Vinoth atau cubaan membunuh Cikgu Chandra bukan sekadar isu keselamatan individu.

Ia adalah simptom bahawa negara gagal menutup ruang radikalisasi sebelum ia berubah menjadi keganasan jalanan.

Malaysia tidak boleh membiarkan konflik agama berkembang menjadi politik identiti yang keras seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

Jika ideologi ekstrem samada agama, etnik atau nasionalisme dibiarkan berkembang tanpa kawalan, negara akan berdepan risiko ketegangan yang jauh lebih besar.

Penyelesaiannya sebenarnya jelas tetapi memerlukan keberanian politik!

Undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi, rumah ibadat mesti mematuhi peraturan perancangan tempatan, dan penguatkuasaan mesti berlaku sejak awal bukan selepas konflik meletus.

Jika kerajaan dan pihak berkuasa terus bertindak hanya selepas insiden keganasan berlaku, Malaysia bukan sahaja gagal mempertahankan kedaulatan undang-undang, malah sedang membuka ruang kepada ekstremisme untuk menentukan arah masa depan negara.

Kerana dalam mana-mana negara, apabila undang-undang menjadi lemah, ekstremisme akan mengambil alih peranan negara.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author