Terkini
Kluster kanser di PPUM? Kesatuan mahasiswa tuntut jawapan segera UM
- Desakan itu dibuat selepas dokumen yang tular di media sosial membangkitkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan radiasi di unit berkenaan susulan pemasangan mesin PET-CT.
- Menurut dokumen tersebut, beberapa kes penyakit serius dilaporkan dalam kalangan kakitangan unit berkenaan, termasuk tiga kes kanser tahap empat serta empat kes berkaitan masalah tiroid.
- KMUM juga menggesa universiti menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas yang melibatkan pakar luar bagi memastikan ketelusan dalam penyiasatan dan laporan yang akan dibentangkan kepada warga universiti.
KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mendesak pihak pengurusan universiti memberikan penjelasan rasmi berhubung dakwaan kewujudan kluster penyakit kronik dalam kalangan staf di Unit Perubatan Nuklear, Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Desakan itu dibuat selepas dokumen yang tular di media sosial membangkitkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan radiasi di unit berkenaan susulan pemasangan mesin PET-CT.
Menurut dokumen tersebut, beberapa kes penyakit serius dilaporkan dalam kalangan kakitangan unit berkenaan, termasuk tiga kes kanser tahap empat serta empat kes berkaitan masalah tiroid.
Walaupun hubungan langsung antara pendedahan radiasi dengan penyakit tersebut masih belum dapat dipastikan dan memerlukan siasatan pakar, kewujudan beberapa kes dalam unit yang sama telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan staf serta komuniti kampus.
KMUM dalam kenyataannya menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerja adalah hak asas yang tidak boleh dikompromi, selain menuntut pihak universiti menjelaskan tahap pematuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan radiasi.
Antara yang dibangkitkan termasuk pematuhan terhadap Seksyen 57(1) Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 serta tahap perlindungan pekerja di bawah Seksyen 25 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Selain itu, kesatuan mahasiswa berkenaan turut meminta penjelasan sama ada kes penyakit tersebut telah dilaporkan sebagai penyakit khidmat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan.
KMUM juga menggesa universiti menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas yang melibatkan pakar luar bagi memastikan ketelusan dalam penyiasatan dan laporan yang akan dibentangkan kepada warga universiti.
Menurut kesatuan itu, sekiranya penjelasan telus tidak diberikan, mereka tidak menolak kemungkinan untuk memohon campur tangan pihak berkuasa termasuk Jabatan Tenaga Atom Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi menyiasat kemungkinan pelanggaran undang-undang.
Setakat ini, pihak Universiti Malaya belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang tular tersebut.-The Merdeka Times