Terkini
Kes Lim Guan Eng: Pemuda MCA persoal sikap DAP terhadap rasuah
- Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mempersoalkan sikap parti DAP yang didakwa tidak konsisten dalam isu rasuah, khususnya apabila melibatkan pemimpin daripada parti sendiri.
- “Di manakah hilangnya suara yang lantang menentang rasuah apabila pemimpin mereka sendiri dikaitkan dengan rasuah?,” soal beliau.
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mempersoalkan sikap parti DAP yang didakwa tidak konsisten dalam isu rasuah, khususnya apabila melibatkan pemimpin daripada parti sendiri.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau membangkitkan persoalan mengenai mengapa suara yang sebelum ini lantang menentang rasuah kini dilihat semakin senyap apabila pemimpin tertentu dikaitkan dengan kes rasuah.
Menurutnya, pada masa lalu terdapat pemimpin parti tertentu yang didakwa mencetuskan provokasi melalui perhimpunan besar-besaran kononnya untuk menentang rasuah yang melibatkan Barisan Nasional.
Namun, Choo Seong berkata keadaan dilihat berbeza apabila dakwaan rasuah melibatkan tokoh politik yang dipercayai merujuk kepada Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebelum ini terdapat pihak yang lantang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, supaya meletak jawatan.
Bagaimanapun, katanya, pihak yang sama kini dilihat tidak bersuara apabila kes rasuah melibatkan pemimpin sendiri menjadi perhatian umum.
“Di manakah hilangnya suara yang lantang menentang rasuah apabila pemimpin mereka sendiri dikaitkan dengan rasuah?” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dalam hantaran yang sama, Choo Seong turut mempersoalkan sama ada pihak tertentu akan sekali lagi memberi tekanan kepada kerajaan melalui sidang khas Parlimen yang dijangka berlangsung pada Julai ini.
Kenyataan tersebut muncul ketika isu rasuah yang melibatkan beberapa tokoh politik terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat dan arena politik negara.-The Merdeka Times