Terkini
Keganasan jalanan cerminan kegagalan keadilan – Prof Teo Kok Seong
- “Secara umumnya apabila ada pihak yang mengambil tindakan sendiri, ia memberi tanggapan bahawa adanya kegagalan keadilan. Kegagalan ini boleh bersifat pelbagai bentuk. Antaranya ialah prosedur yang tidak jelas sehingga boleh ditanggapi sebagai berat sebelah, selain tidak telus,” – Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.
- Tambah beliau, pihak berkuasa bukan sahaja perlu bertindak secara reaktif selepas sesuatu insiden berlaku, tetapi juga proaktif bagi mencegah konflik daripada tercetus sejak awal.
KUALA LUMPUR – Tindakan ganas yang diambil oleh mana-mana pihak untuk menghukum pihak lain merupakan perbuatan yang jelas membelakangi undang-undang negara, kata Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri bukan sahaja melanggar prinsip keadilan, malah boleh menimbulkan persepsi bahawa sistem keadilan negara gagal berfungsi dengan baik.
Menurutnya, dalam banyak kes, tindakan sedemikian boleh membangkitkan sentimen perkauman walaupun serangan itu berlaku dalam kalangan kaum yang sama.
“Secara umumnya apabila ada pihak yang mengambil tindakan sendiri, ia memberi tanggapan bahawa adanya kegagalan keadilan. Kegagalan ini boleh bersifat pelbagai bentuk. Antaranya ialah prosedur yang tidak jelas sehingga boleh ditanggapi sebagai berat sebelah, selain tidak telus,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Justeru, tanggapan bahawa keadilan tidak ditegakkan perlu dihapuskan dengan memperkukuh kedua-dua sistem utama negara, iaitu sistem perundangan dan juga sistem sosial.
Menurut beliau, sistem perundangan mesti dilihat oleh rakyat sebagai adil kepada semua pihak, manakala sistem sosial pula perlu mempunyai asas keadilan moral yang diyakini masyarakat.
Dalam konteks itu, beliau menegaskan bahawa hukuman berat wajar dikenakan terhadap mana-mana pihak yang bertindak sendiri tanpa menyerahkan penyelesaian kepada pihak berkuasa.
Katanya, tindakan tegas sedemikian penting sebagai langkah pencegahan supaya rakyat tidak terdorong mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan konflik.
“Penyelesaian sesuatu masalah mestilah diserahkan kepada pihak berkuasa, dan pihak berkuasa pula perlu dilihat mampu menyelesaikannya secara segera dan adil,” jelasnya.
Tambah beliau, pihak berkuasa bukan sahaja perlu bertindak secara reaktif selepas sesuatu insiden berlaku, tetapi juga proaktif bagi mencegah konflik daripada tercetus sejak awal.-The Merdeka Times