Terkini
Haniff cabar kerajaan: Teks BM Perlembagaan tidak pernah dimuktamad?
- Menurut Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla tindakan undang-undang yang difailkan tahun lalu mengemukakan dua alternatif hujahan, iaitu sama ada telah wujud penetapan rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2003 atau sebaliknya, seperti yang didakwa kerajaan.
- Beliau menegaskan bahawa sekiranya mahkamah mendapati tiada penetapan rasmi dibuat, keadaan itu amat memalukan kerana Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara masih belum dimuktamadkan dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
- “Bagaimana kita boleh mengatakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan jika undang-undang tertinggi negara sendiri belum dimuktamadkan dalam bahasa tersebut,” tegasnya.
KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan bahawa isu kedudukan teks Bahasa Melayu bagi Perlembagaan Persekutuan kini menjadi pertikaian utama di mahkamah, dengan dua persoalan besar yang perlu diputuskan oleh pihak kehakiman.
Menurut beliau, tindakan undang-undang yang difailkan tahun lalu mengemukakan dua alternatif hujahan, iaitu sama ada telah wujud penetapan rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2003 atau sebaliknya, seperti yang didakwa kerajaan.
Haniff berhujah bahawa semasa Raja Perlis menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2003, telah berlaku penetapan teks Bahasa Melayu sebagai teks rasmi di bawah Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, namun perkara itu dinafikan oleh pihak kerajaan dan kini menjadi isu utama untuk diputuskan di mahkamah.
“Persoalan samada sudah ada penetapan atau belum, itu yang mahkamah perlu tentukan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Merdeka Times.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa sekiranya mahkamah mendapati tiada penetapan rasmi dibuat, keadaan itu amat memalukan kerana Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara masih belum dimuktamadkan dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, kegagalan menjadikan teks Bahasa Melayu sebagai teks berautoriti boleh menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin dalam Perlembagaan.
“Bagaimana kita boleh mengatakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan jika undang-undang tertinggi negara sendiri belum dimuktamadkan dalam bahasa tersebut,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau turut memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya kerajaan mewujudkan dan menetapkan teks Bahasa Melayu sebagai teks rasmi dalam tempoh enam tahun sekiranya didapati penetapan tersebut belum pernah dibuat.
Kes berkenaan turut menyentuh tafsiran terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi case Malaysia 2018 dan Loh Siew Hong custody case Malaysia 2025 yang menurut kerajaan telah menetapkan bahawa teks Bahasa Inggeris adalah rujukan utama.
Namun, Haniff menolak tafsiran tersebut dan menegaskan bahawa kedua-dua kes itu tidak pernah memutuskan bahawa tiada penetapan teks Bahasa Melayu, sebaliknya hanya menyatakan bahawa tiada bukti dikemukakan pada ketika itu untuk menunjukkan penetapan telah dibuat.
Terdahulu, kerajaan dalam pembelaannya menyatakan bahawa teks Perlembagaan dalam Bahasa Inggeris kekal sebagai rujukan utama berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan, dan menegaskan bahawa tiada penetapan rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong setakat ini untuk menjadikan versi Bahasa Melayu sebagai teks berautoriti.
Kes ini dijadualkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama empat hari bermula 24 Mei 2027.-The Merdeka Times