Connect with us

Terkini

Demi maslahah ummah: 8 parti politik Islam, Melayu, Bumiputera sertai musyawarah khas

Published

on

Foto: Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera.
  • Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata antara parti yang terlibat termasuk UMNO, PAS, PKR, AMANAH, PGRS, BERJASA, KIMMA, dan IKATAN.
  • “Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan Musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
  • “Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera menyertai Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata antara parti yang terlibat termasuk UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN). 

Asyraf Wajdi berkata beliau dipertanggungjawabkan oleh Presiden UMNO, untuk mempengerusikan musyawarah bagi menghimpunkan parti-parti politik daripada blok kerajaan dan pembangkang.

“Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan Musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.

“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya, dalam sistem demokrasi parti-parti politik sememangnya mempunyai perbezaan pandangan namun sekiranya melibatkan kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik penyatuan.

“Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang. Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik. 

“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” tegasnya.

Dalam pada itu, menurut beliau, semua pihak yang hadir turut bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform perbincangan berterusan.

Katanya, sekretariat itu akan menjadi wahana bagi menyediakan ruang perbincangan, perundingan serta dialog terbuka, tulus dan telus dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama berkaitan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author