Terkini
Arun Dorasamy diiringi Timbalan Menteri, Cetus persepsi campur tangan eksekutif
- “Kehadiran seorang Timbalan Menteri Undang-Undang mengiringi individu yang sedang berdepan pertuduhan boleh menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat kerana ia melibatkan institusi kehakiman dan proses pendakwaan,” -Peguam Zamri Vinoth, Muhammad Hariz Md Yusoff
- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran daripada parti politik DAP dilihat mengiringi aktivis, Arun Dorasamy di mahkamah pagi tadi.
KUALA LUMPUR – Peguam kepada penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mempersoalkan kehadiran seorang Timbalan Menteri Undang-Undang yang mengiringi aktivis Arun Dorasamy ketika hadir ke mahkamah, sambil mendakwa situasi tersebut menimbulkan persepsi tidak adil dalam proses perundangan.
Peguam Zamri, Muhammad Hariz Md Yusoff, berkata keadaan itu menimbulkan persoalan memandangkan kedua-dua individu berdepan pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, Zamri telah dibawa ke mahkamah oleh pihak polis dalam keadaan bergari serta dikawal ketat oleh anggota polis dari pelbagai arah ketika tiba di mahkamah.
Namun, beliau mendakwa keadaan berbeza berlaku terhadap Arun Dorasamy yang hadir ke mahkamah tanpa bergari dan diiringi oleh seorang Timbalan Menteri Undang-Undang.
Muhammad Hariz berkata situasi tersebut boleh menimbulkan tanggapan dalam kalangan masyarakat bahawa Arun menerima sokongan atau perlindungan daripada pihak tertentu dalam kerajaan.
“Kehadiran seorang Timbalan Menteri Undang-Undang mengiringi individu yang sedang berdepan pertuduhan boleh menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat kerana ia melibatkan institusi kehakiman dan proses pendakwaan,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, keadaan sedemikian berpotensi memberi gambaran seolah-olah pihak eksekutif menyokong individu yang sedang berdepan pertuduhan jenayah, walaupun kes tersebut masih dalam proses mahkamah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa setiap individu yang didakwa sepatutnya melalui proses perundangan yang sama tanpa sebarang persepsi layanan berbeza.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran daripada parti politik DAP dilihat mengiringi aktivis, Arun Dorasamy di mahkamah pagi tadi.-The Merdeka Times