Terkini
ADUN Skudai dedah sewa haram PPR, Scam RM5,000 ‘agen’
- Menurut ADUN Skudai, Marina Ibrahim, tindakan menyewakan unit PPR adalah satu kesalahan serius kerana rumah tersebut disediakan sebagai kediaman transit untuk golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan.
- “Konsep rumah PPR adalah transit, iaitu persinggahan sementara. Apabila penyewa sudah tidak layak, mereka perlu keluar bagi memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
- Mengulas dakwaan kewujudan ‘agen’ yang mengenakan bayaran bagi mendapatkan unit PPR, Marina menegaskan perkara itu adalah tidak benar dan merupakan satu bentuk penipuan.
JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mendedahkan wujudnya penyalahgunaan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) termasuk disewakan kepada pihak ketiga serta kewujudan sindiket penipuan menggunakan ‘agen’ yang mengenakan bayaran sehingga RM5,000.
Menurut beliau, tindakan menyewakan unit PPR adalah satu kesalahan serius kerana rumah tersebut disediakan sebagai kediaman transit untuk golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan.
“Konsep rumah PPR adalah transit, iaitu persinggahan sementara. Apabila penyewa sudah tidak layak, mereka perlu keluar bagi memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Marina berkata, terdapat segelintir penyewa yang menyalahgunakan kemudahan itu dengan menyewakan unit kepada pihak lain pada kadar lebih tinggi, meskipun hanya membayar sewa serendah RM124 sebulan kepada kerajaan.
Beliau turut menggesa orang ramai tampil melaporkan sebarang kesalahan berkaitan kepada pihak berkuasa agar tindakan tegas dapat diambil.
“Kalau tahu ada jiran yang buat perkara ini, laporkan. Ramai lagi yang menunggu giliran untuk mendapatkan PPR,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor telah mengambil tindakan proaktif sejak empat tahun lalu, termasuk menahan lebih 1,000 individu serta melaksanakan operasi pembersihan bagi membanteras penyalahgunaan tersebut.
Mengulas dakwaan kewujudan ‘agen’ yang mengenakan bayaran bagi mendapatkan unit PPR, Marina menegaskan perkara itu adalah tidak benar dan merupakan satu bentuk penipuan.
“Tidak wujud permohonan melalui agen yang perlu bayar RM5,000. Permohonan hanya dibuat melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ),” tegasnya.
Beliau berkata, bagi unit seperti Flat Melana, penyewa hanya perlu membayar deposit utiliti dan sewaan rumah sekitar RM1,500, manakala sewa bulanan dianggarkan sekitar RM250.
Marina turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah.
“Banyak kes scam berlaku, termasuk melibatkan individu yang benar-benar memerlukan. Jangan mudah percaya tawaran luar, urusan rasmi hanya melalui PKPJ,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sedang berusaha menambah lebih banyak Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan unit PPR bagi menampung permintaan tinggi, selain memastikan sistem penempatan lebih tersusun melalui bancian berkala.-The Merdeka Times